
Malah, pasti ada yang pernah berangan untuk menemui harta karun dari dasar lautan seperti kisah-kisah tersebut.
Walaupun ramai yang menganggap ia sekadar angan-angan kosong, namun seorang pencipta filem, Ben Rongen, 65, berjaya merealisasikan impian itu.
Dia yang menemui artifak berusia 400 tahun tersimpan di dasar laut tidak terus menjual barang berharga itu, sebaliknya mempunyai idea berbeza iaitu menghasilkan barangan kemas dan aksesori menerusi Kraak Creations.

Rongen yang dibesarkan di Australia memberitahu, kali pertama dia datang ke Malaysia ialah pada 1994 dan membuka sebuah syarikat produksi selama 15 tahun yang menerbitkan dokumentari korporat, iklan dan program televisyen.
“Namun, saya secara perlahan-lahan cuba berehat daripada kerja itu dan mahu mencari bahan subjek lebih menarik seperti sejarah,” katanya.
Pada masa sama, ia mengingatkannya kepada pertemuan dengan ahli arkeologi marin terkenal Sweden, Sten Sjostrand yang banyak mencari kapal karam di Laut China Selatan.
“Ketika saya mendekatinya, dia yang bekerjasama dengan Jabatan Muzium Malaysia, sudah menemui tujuh bangkai kapal di kawasan Pantai Timur,” katanya.
Teruja untuk memulakan projek baru, dia menyertai Sjostrand dan krunya untuk mendokumentasikan perjalanan mereka pada 2002.
Dalam tempoh enam bulan, lelaki tersebut bertuah kerana dia dan kumpulan itu berjaya menemui sebuah lagi bangkai kapal yang terletak berhampiran Pulau Tenggol, Terengganu.

“Rupa-rupanya, ia adalah kapal Portugis dari tahun 1925 yang membawa muatan kargo dari Dinasti Ming, iaitu seramik biru dan putih. Kami merasakan ia ditembak oleh Belanda yang ketika itu berebut untuk mendapatkan Melaka sekitar 1600an.
“Jadi ini adalah salah satu cubaan mereka menenggelamkan kapal Portugis yang belayar dari China untuk menghalang mereka ke Melaka.
“Kapal ini tidak besar iaitu sekitar 25 meter. Memandangkan saya masih baru dalam mengenali seramik dan bangkai kapal, ia amat menyeronokkan sekali apabila dapat melihat tinggalan sejarah diangkat ke atas bot.
“Amat menakjubkan apabila dapat melihat tinggalan sejarah berusia 400 tahun secara dekat,” katanya.
Menurutnya lagi, seramik daripada kapal Wanli (dinamakan sempena nama Maharaja Wanli yang memerintah China dari 1573 hingga 1620) dikenali sebagai porselin Kraak (sempena kapal Portugis yang membawanya) itu direka khas untuk eksport ke pasaran Eropah.
Rongen berkata, kru mereka mengeluarkan lebih 9,000 kilogram sisa seramik dan mengambil masa tiga tahun untuk menggali semua tinggalan daripada kapal.

“Sebaik semua artifak ini disimpan di gudang dan dikongsi bersama Jabatan Muzium, terdapat 4,000 kilogram lagi serpihan seramik.
“Seramik yang dilukis sendiri ini berada di dasar lautan selama 400 tahun dan biarpun pecah namun ia masih cantik. Saya melihatnya sebagai barangan cantik yang amat bernilai,” katanya.
Rongen menjelaskan, dia mempelajari cara menghasilkan barangan kemas dengan sendiri termasuk memotong, mengisar dengan mesin dan menghasilkan kraftangan indah seperti anting-anting, rantai, gelang tangan, loket dan kafling.
Kraak Creations mempunyai dua jenis barangan kemas iaitu direka bersama perak dan bukan perak.

Barangan kemas tanpa perak yang terdiri daripada loket dan anting-anting bermula dari RM100 dan boleh mencecah RM1,000 jika seramik yang digunakan bersaiz besar dan unik.
Barangan kemas ini biasanya digunakan dalam pertunjukan fesyen namun, jika anda ingin mencari barangan kemas bersama perak, ia agak mahal dengan harga bermula RM200 hingga RM1,500.
Selain itu, setiap barangan kemas datang bersama sijil keaslian, nombor siri dan jaminan wang dikembalikan kerana ia adalah serpihan sejarah yang anda bawa ke mana-mana saja.

“Saya percaya setiap orang boleh memiliki cebisan sejarah. Tidak kisah sama ada sepasang anting-anting atau kafling kerana seramik cantik biru dan putih ini menceritakan kisahnya.
“Saya mungkin berusia 65 tahun tetapi masih sihat bertenaga untuk menyelam,” katanya yang berharap satu hari nanti dapat menerokai lebih banyak bangkai kapal di dasar lautan Malaysia.
Berminat untuk memiliki barangan kemas penuh nilai sejarah ini? Anda boleh ke laman Facebook Kraak Creation untuk maklumat lanjut.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]