Mengimbau kenangan di medan selera New World Park

Mengimbau kenangan di medan selera New World Park

Sebelum New World Park menjadi medan selera, ia merupakan tempat hiburan dengan acara gusti, teater dan seni persembahan yang menampilkan ‘Queen of Striptease’, Rose Chan.

Lee Eng Lai (kiri) dan Lee Eng Huat (kanan) dari Swatow Lane Ice Kacang memegang gambar lama New World Park. (Gambar Tsen Ee Lin)
GEORGE TOWN:
Percaya atau tidak, yuran masuk ke taman hiburan ini tidak sampai pun satu ringgit.

Sebelum adanya suasana riuh yang menempatkan penjaja dan kehadiran ramai pelanggan berpakaian pejabat, tempat ini adalah lokasi tumpuan orang ramai mencari hiburan dan terletaknya taman hiburan pertama di Pulau Pinang iaitu New World Amusement Park.

Kenangan mengenai taman hiburan ini dan zaman silamnya bagaimana pun tidak banyak diketahui umum namun bagi segelintir rakyat negeri itu, ia masih segar dalam ingatan.

Jika sebut mengenai New World Park ketika ini, pasti ramai memuji ruang medan seleranya yang luas dan selesa dengan pelbagai pilihan makanan namun keadaan itu amat berbeza pada 1939 apabila suasananya dihiasi dengan penjaja ais kacang tepi jalan, perlawanan gusti dan tayangan filem.

Bagi mereka yang bernasib baik pasti akan bertemu jodoh selain dapat menonton persembahan Rose Chan yang digelar sebagai ‘Queen of Striptease’.

Gambar nostalgia New World Amusement Park. (Gambar Lee Wah Chai)

Selepas Shaw Brothers membuka operasinya di New World Park di Swatow Lane pada Disember 1939, taman itu meriah dengan kehidupan malam di Pulau Pinang dan terus menjadi tarikan kepada orang ramai.

Lee Eng Huat dan abangnya, Lee Eng Lai melalui zaman kanak-kanak mereka sepenuhnya dan sering mengunjungi taman tema berkenaan apabila troli ais kacang milik bapa mereka diletakkan di luar taman dan menjualnya di tepi jalan Swatow Lane sejak 1923.

Sejak berpindah pada 2007, keluarga yang terkenal dengan Swatow Lane Ice Kacang itu meneruskan perniagaan sehingga empat generasi dan masih bertahan sehingga ke hari ini.

Eng Huat menyediakan ais kacang. (Gambar Tsen Ee Lin)

Ketika sibuk menyediakan ais kacang, Eng Huat mencurah sirap ke atas ais yang sudah diparut sambil teringat kembali mengenai taman hiburan pertama di Pulau Pinang.

“Pejabat Shaw pernah berada di sudut kawasan itu dan bayaran masuk New World Park cuma 10 sen saja.

“Ibu membawa saya untuk melihat perniagaan ais kacang ayah dan jika ada peluang, saya berjalan ke sekitar kawasan ketika masih bersekolah rendah,” kata Eng Huat, 65, sambil menyiapkan ais kacang untuk pelanggan.

Dinding tembok New World Park masih berdiri teguh di Swatow Lane dan diberi nama ‘The Great Wall of Penang’. (Gambar Tsen Ee Lin)

Taman hiburan ini pasti memenuhi kehendak sesiapa saja kerana mempunyai pelbagai pilihan makanan, dua panggung besar, tiga persembahan pentas, gelanggang bola keranjang, ‘merry-go-rounds’ dan gelanggang tinju.

“Satu ketika dulu, ini adalah satu-satunya taman hiburan di Pulau Pinang dan semua orang suka ke sini setiap kali ada jualan akhir tahun untuk Pameran Perdagangan dan Industri pada Disember, dikenali sebagai PESTA.

“Pameran ini seperti pasar malam yang turut menjual belon yang dibuat pelbagai bentuk selain jualan makanan dan gerai mainan,” kata Eng Huat.

Gerai mainan itu terdiri daripada permainan berkonsep karnival di mana pemain boleh membaling gelung besi ke arah tin atau membaling damak untuk memenangi hadiah serta makanan.

Laluan pintu Panggung Globe pernah berada kira-kira 30 langkah saja daripada pintu masuk bahagian tepi di medan selera New World Park. (Gambar Tsen Ee Lin)

Jika bukan Disember, taman hiburan itu masih meriah dengan kehadiran orang ramai dan salah satu tarikannya ialah panggung skrin besarnya.

“Salah satunya mempunyai kipas dan satu lagi lebih terbuka, anda boleh menonton dengan keadaan berdiri di tepi panggung.

“Panggung Globe ialah panggung terbuka dan anda boleh masuk dan berdiri di tepi untuk menonton filem secara percuma dan jika ingin duduk perlu membayar lebih,” kata Eng Huat.

Bahagian hadapan Panggung Lido (Gambar Lee Wah)

“Bagi panggung tertutup Lido, anda perlu membayar lebih kerana ia mempunyai tiga kelas tiket berharga 40 sen, 65 sen dan RM1.40 untuk kelas pertama,” katanya.

Ditanya sama ada dia pernah duduk di kelas pertama, Huat berkata dia mengenali ‘orang dalam’ dan bernasib baik dapat merasai pengalaman itu serta menonton secara percuma.

“Biasanya, kita mengenali mereka yang bekerja di dalam dan ayah juga mengenali mereka. Sebab itu saya dapat menonton secara percuma,” kata Eng Huat sambil ketawa.

Eng Huat menganggarkan kedua-dua skrin panggung itu mempunyai ukuran sama dengan papan tanda di belakangnya. (Gambar Tsen Ee Lin)

“Ketika itu, saya menonton filem Hercules, Tarzan dan banyak filem Cina. Saya tidak mengingati tajuknya tetapi tidak ada filem yang dibintangi Jackie Chan atau Bruce Lee,” kata Eng Huat.

Eng Lai pula menambah, banyak filem P.Ramlee juga ditayangkan di panggung berkenaan.

Selain filem, Eng Lai berkata, orang ramai boleh menonton persembahan pentas dengan hanya membayar 15 sen dan menari dengan kumpulan tarian Melayu atau membelanjakan RM30 untuk menyaksikan persembahan Rose Chan tetapi ia hanya untuk mereka berusia 18 tahun ke atas.

Eng Lai mengimbau kenangan silam. (Gambar Tsen Ee Lin)

Bagi Eng Lai, kenangan paling diingati mengenai taman hiburan itu ialah gelanggang gusti apabila penonton boleh menyaksikan perlawanan secara langsung.

Lelaki berusia 70 tahun itu masih ingat lagi keadaan itu ketika dia berusia 14 atau 15 tahun terutama ketika bercerita mengenai ahli gusti berbadan besar.

“Ahli gusti bernama King Kong sentiasa ke sini dan setiap kali datang, dia boleh memakan seekor biri-biri di hadapan orang ramai dan minum bir yang banyak,” kata Eng Lai

“Badannya terlalu besar dan saya masih ingat kereta yang dipandunya ditampal dengan iklan perlawanan dan ketika itu tidak banyak kereta lalu-lalang di jalan,” katanya.

Perkarangan New World Park pada hari ini. (Gambar Tsen Ee Lin)

“Ia adalah kenangan manis apabila anda tidak perlu risau dengan suasana sibuk apabila semua hidup dalam keadaan tenang dan harmoni,” kata Eng Huat.

Tempoh sewaan Shaw Brothers di New World Park berakhir sekitar 1969 dan sebaik mereka menutup pagar kepada orang ramai, terdapat satu lagi taman dikenali sebagai Great World Park yang didirikan di lokasi Komtar pada hari ini.

Biar pun taman hiburan New World Park sudah menutup pintu panggungnya kepada orang ramai, anda masih boleh merasai kenangan silam itu dengan singgah di Swatow Lane Ais Kacang untuk menikmati pencuci mulut sejuk.

Swatow Lane Ice Kacang
E, 102, 1, Jalan Burma,
10050 George Town,
Pulau Pinang
Waktu Operasi: 11 pagi hingga 10 malam setiap hari

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.