Manakala pelanggan pula hanya mentertawakan lakaran yang dihasilkannya. Karyanya tidak dialu-alukan apabila sering ditolak menyebabkan harapan dan impiannya musnah.
Itu lapan tahun dahulu. Kini, kartunis yang berasal dari Pulau Pinang itu boleh berbangga dengan kejayaannya menerusi tiga buku, Tanjung Life, Little Mamak dan Lost in Bangan.
Malah, dia memegang dua rekod Malaysia Book of Records kerana menghasilkan karikatur paling banyak dalam tempoh 24 jam dan lukisan kopi terpanjang serta mural menarik di seluruh Pulau Pinang.

Namun, Mohd Azmi bukanlah setiap masa ‘berkepit’ dengan buku lakarannya.
Dia melakukan pelbagai kerja termasuk bekerja di kedai kopi, memasak mi goreng dan membuat minuman, menjadi juruteknik kilang serta bekerja sebagai polis bantuan.
Pada 2013, Mohd Azmi meninggalkan semua pekerjaan tersebut untuk meneruskan minatnya iaitu melukis.
Maka, bermulalah kehidupannya sebagai artis karikatur jalanan.

“Saya menyedari ramai daripada rakan adalah artis karikatur dan mereka hanya menumpukan kepada bidang ini semata-mata serta tidak berminat untuk mencari kemahiran lain,” katanya yang memberitahu dia mahu melakukan sesuatu yang diiktiraf ramai dan mempunyai impian menjadi seperti kartunis Lat.
Dia kemudiannya menghidupkan watak bergigi jongang Joe G yang menerokai lokasi menarik di Pulau Pinang menerusi buku pertama, Tanjung Life.
“Saya mencipta watak ini sebagai orang Pulau Pinang dan bukan mengikut bangsa Melayu, Cina atau India. Generasi dulu lebih kenal George Town sebagai Tanjung dan dari situ nama Tanjung muncul.
“Saya melukis mengenai kehidupan di Pulau Pinang, festival serta makanan enak pulau mutiara itu,” katanya.

Kartunis berusia 37 tahun ini pernah ditolak hasil karyanya berkali-kali iaitu sebanyak 13 kali, kononnya ia sukar dijual di pasaran.
“Saya akhirnya berjaya mendapatkan penerbit buku dan menjelaskan kepada mereka yang saya mahu Lat melancarkan buku ini. Menerusi bantuan rakan, Lat menjemput saya ke rumahnya di Ipoh dan berbesar hati untuk melancarkan buku ini pada 2015.
“Dia juga bertanya mengapa tidak membuat kisah sendiri dan saya hanya memberitahu tiada apa yang menarik untuk diceritakan.
“Lat memberitahu dia juga adalah kanak-kanak normal dan apabila menghasilkan Kampung Boy, dia tidak sangka buku itu paling laku. Saya teringat lagi kata-katanya yang kita perlu mengiktiraf keistimewaan diri sendiri,” katanya.
Mohd Azmi pulang ke rumah dan terfikir mengenai dirinya berketurunan mamak yang dikaitkan dengan nasi kandar serta roti canai tetapi bagaimana pula dengan budayanya?
Menjadi satu-satunya murid berketurunan Mamak di sekolahnya, dia mengambil peluang itu untuk menghasilkan Little Mamak pada 2016.

Little Mamak memberi makna yang besar kepada kartunis ini kerana ia bukan saja dipilih Majlis Buku Kebangsaan sebagai 50 Tajuk Terbaik Malaysia untuk Pameran Buku Frankfurt tetapi turut menyelitkan neneknya.
“Nenek dan saya agak rapat sebab itu dia ada di dalam buku ini. Dia teringin untuk mengembara ke luar negara dan ketika buku ini dibawa ke Jerman, rasa seperti saya merealisasikan janji saya kepadanya,” kata Mohd Azmi.
Buku ketiganya, Lost in Bagan yang dikeluarkan pada 2017 adalah mengenai perjalanannya yang pulang ke kampung di Butterworth untuk mencari kenangan lama.
Anda bukan hanya dapat melihat namanya tertulis pada buku itu kerana pada 2017 dia turut mencipta sejarah menerusi Malaysia Book of Records kerana melukis 320 orang dalam tempoh 24 jam tanpa makan dan tidur.

“Saya melukis gambar orang secara percuma namun, kita meletakkan tabung derma dan berjaya mengumpul RM12,000.
“Ia lebih bermakna apabila disumbangkan kepada Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang, Persatuan Kanser Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Malaysia,” katanya.
Dia sekali lagi mendapat pengiktirafan di Malaysia Book of Record pada 2019 menerusi lukisan panjang berukuran 101 meter menggambarkan 150 lokasi di Pulau Pinang yang mengambil masa 25 hari untuk disiapkan.
Biarpun sudah ternama, Mohd Azmi mengakui jalannya bukan mudah dan akan dimarahi pelanggan jika tidak berpuas hati dengan lakarannya.
“Karya saya pernah ditertawakan namun pengalaman itu membuatkan diri lebih bersemangat untuk meningkatkan hasil kerja,” katanya.
Menyedari kemahiran menghasilkan karikatur tidak boleh menjadi pendapatan utama, dia mula melukis mural sambil menjelaskan ramai artis berbakat di Malaysia hanya cenderung kepada satu jenis lukisan dan tidak mahu mengambil risiko mempelajari kemahiran baru.
Anda boleh melihat mural milik Mohd Azmi di seluruh Pulau Pinang dan paling popular ialah bintang filem India, Rajinikanth menikmati telur separuh masak, kopi susu dan roti Benggali di Transfer Road sempena filemnya, Kabali selain mural enam legenda bola sepak Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Setakat ini, kartunis terbabit tidak mempunyai perancangan untuk bersara.
Dia kini sedang menghasilkan buku keempat, Tanjung Life: Norma Baru yang memaparkan mengenai bagaimana rakyat Pulau Pinang berdepan pandemik Covid-19.
“Saya berasal dari Butterworth dan begitu menikmati hidup di pulau ini kerana orangnya juga unik. Semua ada di sini, bangunan tinggi, lapangan terbang, pantai, pusat beli-belah dan pada masa sama ada kampung dan sawah padi.
“Pulau Pinang mempunyai penduduk pelbagai bangsa. Jika masuk ke restoran daun pisang, semua bangsa makan di situ dan anda boleh melihat orang Melayu makan di restoran Cina tanpa sebarang masalah,” katanya.
Anda boleh melihat sendiri hasil kerja Mohd Azmi di laman Facebook.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]