
Hanya sebuah papan tanda kecil bertulis ‘Khutub Khanah Muthamizh’ yang terpampang pada dinding tingkat bawah menjadi panduan kepada lokasi ini.
Lainlah, kalau anda memang anak Sentul, tidak susah untuk mencari perpustakaan yang berusia 63 tahun ini.

“Anda akan nampak papan tanda besar di atas bangunan jika dari seberang jalan,” kata presiden perpustakaan itu, P.Raman.
Memang benar, terdapat satu papan tanda besar bertulis Muthamizh Padippagam terpampang pada bangunan namun, hilang dalam kesibukan Sentul.

Anda perlu menaiki anak tangga curam sebelum disambut cahaya terang bersama seorang penyambut tetamu.
Di dalamnya, mata pasti terpaku melihat rak-rak yang dipenuhi buku, malah ada juga buku disimpan disimpan dalam kabinet kaca dan meja panjang supaya orang ramai boleh melihatnya dengan jelas.
Sambil mengiringi penulis, presiden berusia 59 tahun itu menunjukkan gambar dalam bingkai berwarna emas pada dinding yang bertulis, “Muthamizh Padippagam ditubuhkan pada 14 April 1958 oleh 19 orang India yang bekerja di landasan keretapi di Sentul’.
“Mereka yang berasal dari India ini yang bersama-sama mencetuskan idea menyewa lokasi kecil di Jalan Ipoh dengan bayaran RM22.50,” ujar Raman.

Namun, lama-kelamaan tempat itu tidak lagi dapat menampung jumlah buku yang terlalu banyak sebelum berpindah ke Jalan Sentul dan menyewa lokasi di bangunan terbabit pada 1974 menerusi kutipan derma.
“Usaha mengutip derma dilakukan menerusi kunjungan ahli terpilih dari rumah ke rumah ketika perayaan Thaipusam dan Deepavali selain mengadakan tayangan filem,” katanya.
Menurut Raman, perpustakaan berusia 63 tahun itu kini menempatkan 22,858 naskah buku, membabitkan penulis dari seluruh dunia dan 2,008 daripada penulis Malaysia.
“Kami kini dalam proses untuk melancarkan e-perpustakaan bagi membolehkan orang ramai mengakses buku di sini. Setakat ini, ia membabitkan 600 buku daripada penulis Malaysia,” katanya.

Ingin fasih dalam membaca bahasa Tamil atau hanya mencari bahan bacaan untuk meningkatkan pemahaman dan memahami bahasa itu?
Perpustakaan ini adalah tempat terbaik. Pelbagai genre buku terdapat di sini seperti agama, sastera, puisi, sains, buku cerita dan sejarah. Malah, autobiografi pemimpin terkenal seperti Mahatma Gandhi, Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru dan bekas Presiden India, APJ Abdul Kalam juga boleh didapati.

“Kami menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi India pada 2019 yang mendermakan 19 buku ditulis oleh Abdul Kalam. Malah, perpustakaan ini mempunyai buku lama dan sebahagiannya sudah tidak lagi dicetak,” kata Raman.
Ingin tahu bagaimana cara untuk membaca buku yang jarang ditemui? Perpustakaan ini mempunyai sistem ahli dengan bayaran RM50 sebagai deposit membolehkan pembaca membawa pulang buku untuk tempoh dua minggu.
Tidak berminat menjadi ahli? Anda masih boleh menggunakan perpustakaan ini tetapi tidak boleh membawa pulang buku.

Raman menyatakan, terdapat 810 ahli berdaftar ketika ini dan perpustakaan ini hanya boleh memuatkan 50 hingga 60 orang.
Biarpun jam sudah menunjukkan 7 petang, ia masih dikunjungi orang ramai dan kelihatan seorang pelajar berpakaian batik memasuki perpustakaan dan membawa pulang sebuah buku bersamanya.
“Terdapat ramai pelajar universiti yang datang ke sini untuk melakukan penyelidikan terutama untuk tesis mereka termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.
“Terdapat juga tiga sekolah Tamil sekitar kawasan ini dan kami menerima kehadiran ramai pelajar. Minggu lalu, terdapat ibu bapa membawa anak-anak mereka melakukan penyelidikan watak untuk mengadakan persembahan,” kata Raman.

Raman yang mendapat tahu mengenai perpustakaan itu 17 tahun lalu melalui seorang rakan memberitahu FMT, dia melawat tempat itu pada setiap Ahad jam 11 pagi hingga 1 petang.
Ketika ditanya sama ada dia membaca semua 22,858 buku, Raman mengakui dia hanya berjaya membaca 400 buku di perpustakaan terbabit.
“Kita dalam usaha mendekati ibu bapa dan pihak sekolah untuk membolehkan pelajar sekolah berdekatan datang belajar di sini setiap minggu selain berbincang dengan persatuan yang mencadangkan idea perpustakaan bergerak,” katanya.
Raman hanya tersenyum apabila ada rakan menolak idea itu dan memberitahu buku kini lebih mudah diakses menerusi telefon pintar dan komputer.
“Saya percaya perpustakaan mempunyai peranan penting dalam pendidikan dan saya boleh melihat Muthamizh Padippagam ini berkembang serta terus menyediakan bahan bacaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Berminat? Anda boleh ke laman Facebook untuk maklumat lanjut dan info terkini.
Muthamizh Padippagam
788, Jalan Sentul,
Sentul,
51000 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Waktu operasi:
3petang – 9malam (Isnin hingga Jumaat);
11pagi – 1petang dan 3petang – 8mlm (Ahad);
ditutup pada Sabtu
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]