
Subang: “Pernah makan kulfi?”
Bercakap mengenai kuih tradisional India, penulis hanya membayangkan beberapa nama yang terlintas di fikiran seperti jalebis dan gulab jamun, namun kulfi agak asing sekali.
Penjual kulfi yang sempat melemparkan senyuman terus mengeluarkan dua bekas plastik mengandungi kulfi perasa asli (Kesar) dan satu lagi perasa tempatan – kulfi Pandan Gula Melaka.

Pencuci mulut tradisional dengan rasa lemak ini cair sekelip mata ketika dinikmati dan Kulfi Kesar boleh dianggap sebagai pencabar kepada ais krim yang diminati ramai kerana mempunyai tekstur lebih kental, lemak dan manis.
Manakala Kulfi perasa pandan gula Melaka juga tidak mengecewakan kerana rasa tempatan campuran pandan, santan dan gula Melaka menjadikannya lebih enak.
Tidak hairanlah jika kulfi dicipta untuk kerabat diraja pada era Mughal bagi menghilangkan rasa panas.
Pemuda berusia 35 tahun, Hari Singh Rai hanya tersenyum apabila melihat pencuci mulut buatannya dibawa ke meja namun dia tidak menganggap dirinya pakar dalam makanan itu.
“Sebelum ini, saya berkecimpung dalam bidang pemasaran perniagaan dan pendidikan. Selepas dilanda pandemik tahun lalu, saya mempunyai banyak masa lapang,” katanya yang minat menghasilkan masakan tradisional Punjabi dan Malaysia.

Bercakap kepada FMT, kali pertama dia mempelajari pembuatan kulfi ialah daripada neneknya yang berusia 78 tahun sebelum mencari resepi di internet selain mengubahsuainya hingga berjaya muncul dengan jenama Kulfiwala by Rai.
“Kulfi boleh dianggap seperti ais krim cuma ia lebih lemak berkrim dan kental serta proses untuk menghasilkan pencuci mulut sejuk beku ini memakan masa hingga sehari. Bukan mudah untuk menemuinya kecuali anda berada di restoran yang menghidangkan masakan India Utara.
“Selain itu, saya rasa ramai rakyat Malaysia tidak tahu mengenai kulfi dan rasanya yang begitu enak,” katanya.
Jika anda kurang kesabaran, pembuatan kulfi bukan untuk anda. Rai menjelaskan, jika susu dipanaskan terlalu lama ia akan meluap keluar dan ia perlu dipanaskan mengikut jangkamasa sesuai sebelum disejukkan kepada suhu tertentu untuk dimasukkan gula dan krim.
Campuran ini kemudiannya dipanaskan semula dan disejukkan sekali lagi sebelum ditinggalkan dalam peti sejuk hingga lapan jam, bergantung kepada kerumitan perasa yang dibuat.

Sehingga kini, Rai sudah menghasilkan 13 perasa kulfi termasuk tradisional seperti Kesar, Pista dan Badam manakala mereka yang ingin mencuba perasa lain boleh memilih ABC, Pandan Gula Melaka, Butterscotch, Rum dan Raisin, Gulab Jamun, Coffee, Creme Brulee dan terbaru, Strawberi.
Kulfi Gulab Jamun turut dihasilkannya apabila ia dimasukkan dalam kulfi berlemak manis malah Rai membuat sendiri gulab jamun itu.

“Anda boleh memasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk memanaskan gulab jamun dan kulfi akan cair tetapi tetap mengekalkan kesejukan dan tekstur berkrim,” kata Rai yang membandingkan kombinasi pencuci mulut panas dan sejuk seperti brownie dan ais krim.
Bagaimana pun, kulfi masih kurang dikenali di kalangan rakyat Malaysia dan ia adalah cabaran utama Rai untuk memberi kesedaran bahawa pencuci mulut itu juga harus menjadi pilihan mereka.
Namun, dia gembira apabila tempahan kulfi diterima daripada komuniti Punjabi dan India serta ekspatriat dari India yang tercari-cari rasa manis seperti dinikmati di negara asal mereka.
“Saya kini mempunyai pelanggan yang gemarkan kulfi sejak kali pertama mencubanya dan respon positif ini memberi semangat kepada saya untuk terus menghasilkan kulfi terbaik,” katanya.
Selain kulfi, Rai yang juga peminat pencuci mulut turut menjual kheer iaitu satu lagi hidangan pencuci mulut tradisional India yang wajib dinikmati di Gurdwara pada mana-mana acara.

“Hidangan ini boleh dinikmati sama ada sejuk atau panas dan terdapat tiga jenis dihidangkan iaitu kheer beras, kheer sugee dan kheer lobak. Kheer beras ini biasanya menggunakan campuran rempah, beras, badam dan susu manakala kheer lobak hampir sama tetapi ditambah dengan parutan lobak bagi memberi rasa rangup dan manis,” katanya.
Mereka turut menghantar sendiri kulfi kepada golongan tidak bernasib baik di seluruh Lembah Klang dan baru-baru ini dia menghantar pencuci mulut itu ke Johor Bharu untuk berkongsi keenakan kulfi.
Jika anda mencari pencuci mulut enak di musim panas ini, anda boleh mencubanya dengan membuat tempahan daripada Kulfiwala by Rai sama ada melalui Instagram, Facebook atau WhatsApp di nombor 016 8777748.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]