Arafat bantu edar makanan kepada ‘Anak Malaysia’ di Singapura

Arafat bantu edar makanan kepada ‘Anak Malaysia’ di Singapura

Arafat Mahyiddin, rakyat Malaysia yang ikhlas membantu mengedarkan makanan secara percuma kepada rakyat senegara yang kurang berkemampuan di Singapura.

Arafat (kiri), antara contoh rakyat Malaysia berhati mulia. (Gambar Bernama)

Dia berjalan menggendong dua beg plastik biru, penuh berisi 80 pek makanan dan 20 keping capati. Pada beg galasnya terikat sekeping kadbod dengan tulisan: #Kitabersaudara. Food Not For Sale. From Ummah For Ummah. This Food For Charity. Malaysian Say ‘Hi’ For Me.

Sesekali dia berhenti, mengedarkan makanan yang tersimpan dalam beg plastik biru itu dan terus berjalan lagi.

Siapakah gerangan pemuda ini?

Dia adalah Arafat Mahyiddin, rakyat Malaysia yang ikhlas membantu mengedarkan makanan secara percuma kepada rakyat senegara yang kurang berkemampuan di republik ini. Dia melakukan semua ini dengan hanya menaiki Mass Rapid Transit (MRT).

Berasal dari Pahang, Arafat lazimnya akan mengambil bekalan makanan sekitar pukul 2.30 petang di pusat pengedaran di Pasir Ris sebelum membuat penghantaran yang kebiasaannya selesai sekitar pukul 7 malam.

“Saya melakukan aktiviti ini kebiasaannya pada hujung minggu kerana pada hari biasa, saya bekerja,” katanya yang juga merupakan siswazah lulusan sebuah universiti di Indonesia.

Perjalanannya ke sekurang-kurangnya 10 stesen, dimulai dari stesen Pasir Ris, terletak di bahagian barat republik ini sehinggalah ke Marsiling di bahagian utara meliputi kawasan seperti Tampines, Bedok, Geylang, Kallang, Bukit Merah, Queenstown, Clementi dan Jurong East.

“Pihak berkuasa MRT dan penumpang memberikan kerjasama yang sangat baik apabila mengetahui bekalan ini adalah untuk tujuan kebajikan,” katanya .

Menurut Arafat kebanyakan mereka yang menerima makanan ini sedang bekerja dan kurang bekemampuan, oleh itu penghantaran makanan ini akan menjimatkan kos dan masa mereka kerana tidak perlu lagi datang ke Pasir Ris yang terletak agak jauh.

Arafat yang bekerja di sektor perkilangan juga berkata: “Jika ada pahala (atas perbuatan) saya ini, saya harap ia disedekahkan kepada arwah ayah,” katanya menambah beliau juga suka mengisi masa dengan melakukan kerja amal itu agar tidak terlalu mengenangkan anak dan isteri di tanah air.

Menurutnya lagi, bekalan makanan tersebut disediakan oleh sekumpulan rakyat Singapura dengan menggunakan slogan “Kita Bersaudara”.

“Saya mengikuti usaha kebajikan ini ketika berada di Malaysia lagi. Jadi, apabila saya dipanggil semula oleh majikan ke sini (September lepas) ia telah memberi peluang kepada saya untuk melakukan kerja amal ini, ” kata Arafat yang tidak berkesempatan memasuki Singapura pada 18 Mac lepas, iaitu tarikh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan di Malaysia.

Seorang penggerak usaha “Kita Bersaudara”, Mohd Razib Ibrahim yang ditemui di pusat pengedaran di Pasir Ris berkata, kira-kira 180 ribu pek makanan sudah diedarkan kepada “Anak Malaysia” sejak Mac lepas dengan purata antara 500 dan 600 pek makanan sehari.

Mohd Razib berkata, kumpulan ini telah membantu “Anak Malaysia” yang kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa atau agama, sejak langkah memperketatkan pergerakan di pintu sempadan kedua-dua negara dilaksanakan Mac lepas, bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kami menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuklah sebuah bank Malaysia yang beroperasi di sini. Melalui sumbangan tersebut, rakan kami yang mengusahakan perkhidmatan katering membantu menyediakan masakan dengan menu lengkap yang bernilai tiga dolar satu pek untuk diedarkan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.