Demi kelangsungan hidup, chef hotel buka gerai makanan di tepi jalan

Demi kelangsungan hidup, chef hotel buka gerai makanan di tepi jalan

Terletak di Cheras, Dapoor Cik Da menjual mi kari dan sup pada harga RM5.50 semangkuk.

Chef Abang Ujie dan rakannya, Shahrizan.
PETALING JAYA:
2020 adalah tahun yang cukup mencabar buat semua. Covid-19 telah menjejaskan banyak perniagaan dan industri perhotelan tidak terkecuali. Ramai yang dibuang kerja, ada juga disingkatkan waktu kerjanya.

Chef hotel Raja Romzi Haji Ishak, 42 atau dikenali sebagai Chef Abang Ujie tidak terkecuali. Waktu kerjanya dikurangkan, ini menjadikan dia mempunyai banyak masa terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Dalam berkira-kira cara menggunakan bakat kulinerinya itu, rakan baiknya Muhammad Shahrizan, 30 yang bekerja di bahagian keselamatan hotel yang sama mencadangkan Chef Abang Ujie membuka sebuah gerai makanan bersamanya di Cheras.

“Kami telah berkawan baik selama lima tahun dan apabila diberitahu bahawa masa kerja kami dikurangkan kepada tiga hari seminggu, saya mencadangkan dia menyertai saya untuk membuka gerai makanan,” ujar Shahrizan.

Gerai Abang Ujie, Dapoor Cik Da terletak di Cheras menjual pelbagai jenis mi.

Abang Ujie bersetuju dan gerai segera didirikan. Gerai tersebut diberi nama Dapoor Cik Da bersempena nama isteri Abang Ujie yang menjual tiga jenis mi, kway teow dan bihun dengan pilihan sup serta kari.

Sup bihun Dapoor Cik Da pada harga RM5.50 semangkuk.

“Saya memulakan dengan hidangan berasakan sup dan kari kerana ia adalah jenis hidangan ringkas yang digemari pelanggan,” jelas Abang Ujie yang menjual semangkuk mi dengan harga RM5.50 yang ditambah bersama pelbagai bahan menarik seperti hirisan daging lembu serta bebola daging.

Mi kari kegemaran pelanggan.

Bersebelahan Dapoor Cik Da adalah gerai Shahrizan yang menjual ayam goreng dengan pelbagai perisa menarik seperti ayam mangga, ayam goreng pedas Korea dan ayam berkeju.

Ayam mangga adalah hidangan berwarna-warni dengan potongan mangga manis diserlah cili berwarna-warni, tepat untuk mereka yang inginkan rasa pedas manis.

Dari Kiri: Ayam mangga dan ayam goreng pedas Korea.

Bagi mereka yang lebih suka rasa lebih pedas, bolehlah mencuba ayam goreng pedas Korea yang dilapisi sos pedas enak. Menurut Shahrizan, kedua-dua hidangan ini adalah kegemaran pelanggan.

Tiga keping ayam ini berharga hanya RM5, jadi anda boleh mendapatkan semangukuk mi dan sepiring ayam goreng dengan hanya RM10.50. Sekiranya masih belum mencukupi, ayam goreng biasa yang enak turut dijual berharga RM1 sekeping.

“Sebelum mendirikan warung, kami meninjau kawasan sekitar terlebih dahulu. Kami ingin menjual sesuatu yang tidak dijual oleh gerai lain. Dari situlah datangnya idea menjual mi dan ayam goreng berperisa unik ini.

“Kami telah menubuhkan sebuah ‘komuniti gerai’ yang mana jika pelanggan yang makan di gerai kami inginkan char kway teow dari gerai sebelah, kami akan dapatkannya untuk pelanggan. Kami ingin saling menyokong perniagaan yang terdapat di sini,” jelas Abang Ujie.

Menurut Abang Ujie, pada awalnya perniagaan agak perlahan tetapi baru-baru ini ia meningkat dengan 40 hingga 50 pesanan setiap hari.

Walaupun telah bekerja sebagai chef selama 23 tahun, Abang Ujie mengaku bahawa menjalankan perniagaan gerai dan bekerja di dapur profesional adalah dua perkara berbeza. Pengalaman menerima pesanan pelanggan yang ‘pertamanya’ agak kelam kabut.

Chef Abang Ujie sedar membuka gerai perlukan kesabaran dan penuh dengan pelbagai cabaran.

“Ada juga cabaran hujan lebat. Khemah kami hampir runtuh ditiup angin. Membuka gerai tentunya pengalaman baru buat saya,” jelas Abang Ujie sambil tersenyum.

Sekiranya anda berada di Cheras, berilah sokongan kepada perniagaan Abang Ujie dan Shahrizan dan cubalah sup atau mi kari serta ayam goreng pedas Korea mereka. Dapoor Cik Da turut membuat penghantaran, anda boleh melihat Instagram mereka untuk info lebih lanjut.

Address: Jalan Damai Perdana 5/1c, Bandar Damai Perdana, 56000 Malaysia, Cheras, Selangor

Waktu operasi: 3pm hingga 10 pm, Khamis hingga Ahad.

Hubungi: +6019-3421489

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.