Kassim nekad tinggalkan kerjaya tukang paip dan jadi pembuat rebana

Kassim nekad tinggalkan kerjaya tukang paip dan jadi pembuat rebana

Sayangnya pada seni warisan ini membuatkan Kassim Ibrahim, 43 nekad meninggalkan kerjaya sebagai tukang paip kepada pembuat rebana.

Kassim berharap rebana dapat diberi perhatian oleh pihak bertanggungjawab agar warisan ini tidak terkubur begitu sahaja. (Gambar Bernama)
PASIR SALAK:
Dia terlalu meminati irama rebana. Paluan alunan rebana begitu bernilai baginya. Sayangnya pada seni warisan ini membuatkan Kassim Ibrahim, 43 nekad meninggalkan kerjayanya sebagai tukang paip kepada pembuat rebana.

Menurut Kassim, “Kumpulan yang bermain alatan rebana ini masih ramai, cuma pembuatnya mungkin tidak ramai. Bukan semua orang boleh membuat rebana kerana ia memerlukan ketelitian, kesabaran dan kasih sayang yang tinggi.”

Kassim mula melibatkan diri menghasilkan alat muzik itu yang cukup sinonim dengan orang Melayu, sejak empat tahun lepas. Malah kini, bapa kepada empat orang anak itu boleh berbangga apabila bukan sahaja pandai bermain rebana tetapi juga menjadi guru mengajar mereka yang berminat membuat rebana.

“Di sebabkan saya bermain rebana dan mengajar membuat rebana, maka saya mahukan kualiti bunyi yang baik, sebab itu walaupun tanpa bimbingan sesiapa saya cuba membuatnya dengan menggunakan kelengkapan sendiri,” katanya yang berasal dari Kampung Pulau Gajah, Pasir Panjang Ulu.

Kassim menghasilkan empat jenis rebana iaitu penengkah, penyelang, pembandung dan pelalu yang kesemuanya diperbuat daripada kayu halban serta kulit lembu jantan berumur tiga tahun ke atas.

Katanya, proses penghasilan bermula dengan memotong kayu sehingga berbentuk bulat mengikut diameter tertentu, membuat bingkai atau dipanggil melarik, memasang dan melicinkan kulit sebelum mencantikannya.

“Kulit lembu saya beli secara pukal dengan harga RM100 sekeping manakala kayu halban saya peroleh dari kawasan hutan sekitar. Untuk mengeringkan kulit lembu ia memakan masa antara dua minggu sehingga sebulan,” katanya.

Beliau berkata untuk membuat sebiji rebana ‘penengkah’ yang menghasilkan bunyi lebih kuat, ia memakan masa sehingga enam bulan kerana kulit lembu perlu diregangkan secukupnya namun untuk rebana ‘pelalu’ dan lain-lain hanya mengambil masa kira-kira dua minggu sahaja.

Menyifatkan rebana sebagai simbol kasih sayang kerana ia perlu dimainkan secara berpasangan, Kassim berkata satu set alat muzik tradisional itu yang mengandungi 10 pelalu serta masing-masing satu penengkah, penyelang dan pembandung berharga sekitar RM2,700 hingga RM3,000.

“Kalau untuk mengejar keuntungan memang tidak boleh, kerana tenaga, masa dan kos yang keluar tidak berbaloi dengan harga jualan,” katanya.

Ditanya mengenai ‘masa depan’ rebana, Kassim berkata, “Saya berharap ia dapat diberi perhatian agar warisan ini tidak terkubur begitu sahaja. Satu kerugian sekiranya seni rebana ini dilupakan oleh generasi masa kini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.