
Lebih banyak negeri di semenanjung Malaysia, terutama yang bergantung kepada pelancongan sedang berusaha ke arah memperkenalkan gelembung pelancongan bagi memperbaiki ekonomi mereka selepas terjejas teruk akibat pandemik.
Pulau Langkawi
Pulau ini bakal membuka pintunya kepada pelancong tempatan di bawah pelan gelembung pelancongan bermula 16 September 2021.
Destinasi pelancongan lain juga akan dibenar beroperasi sebaik kadar vaksinasi tempatan mencecah 80%.
Terengganu
Pada masa yang sama, beberapa pulau popular di Terengganu kini mula menerima pengunjung yang lengkap divaksin untuk menginap di hotel, resort atau inap desa di Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir bermula 1 September 2021.
Pahang
Pahang juga sedang menunggu persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka semula beberapa lokasi pelancongan utama di negeri ini.
Pulau Tioman, Taman Negara, Tanah Tinggi Genting, dan Janda Baik adalah antara destinasi pelancongan di mana penduduk tempatan yang telah menerima dua dos vaksinasi Covid-19 bersedia untuk menerima tetamu.
Kerajaan negeri berkata mereka bersedia memperkenalkan gelembung perjalanan atau pelancongan di lokasi tersebut.
Lembah Klang
Dalam pada itu, perniagaan, pengusaha hotel, pemain pelancongan dan peruncit di Lembah Klang tidak sabar lagi untuk membuka perniagaan berikutan sekatan Covid-19 yang dilonggarkan sebagai persediaan untuk Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (NRP).
Pemilik perniagaan bersedia untuk beralih ke Tahap 2 NRP, kerana lebih 80% penduduk di Lembah Klang telah menerima vaksinasi lengkap mereka.
Sarawak
Manakala Sarawak, antara negeri yang penuh berharap akan menjadi destinasi ‘gelembung perjalanan hijau’ selamat buat pelancong yang telah menerima vaksinasi penuh.
Bumi Kenyalang itu telah menyaksikan usaha vaksinasi besar-besaran di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan harapan dapat mencapai matlamat kekebalan kelompok.
Pada akhir bulan Ogos, Sarawak telah memvaksinasi sepenuhnya 86.6% populasi dewasa, membabitkan lebih dari 1.76 juta penduduknya, termasuk barisan hadapan pelancongan.
Vaksinasi remaja berusia 16 dan 17 tahun bermula di Sarawak pada 8 September 2021.
Johor
Sementara itu, kerajaan Johor berharap dapat mengubah tiga kawasan di negeri ini yang mempunyai kadar imunisasi Covid-19 melebihi 80% sebagai lokasi pelancongan di bawah program gelembung pelancongan.
Ketua Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Onn Hafiz Ghazi, berkata perbincangan dengan Pelancongan Johor telah dilakukan agar kerajaan persekutuan menangani perkara tersebut melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Daerah Muar, kepulauan Mersing, dan Pantai Desaru Kota Tinggi adalah antara tiga kawasan tumpuan terbabit, katanya.
Kepulauan Mersing, yang turut dikenali sebagai ‘Maldives of Malaysia’, memiliki kadar vaksinasi 100%, membabitkan 594 penduduk pulau itu, serta pekerja resort yang telah divaksinasi.
Pelancongan luar negara
Perjalanan antarabangsa bagi rakyat Malaysia juga sedang dipertimbangkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan bagi membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura yang diharapkan, turut melibatkan perwakilan dari kerajaan negeri Johor.
Sehingga kini, perjalanan antara negeri masih dilarang di negeri-negeri fasa 1, 2 dan 3.
Biarpun jumlah kes harian masih tinggi, Malaysia sedang mempersiapkan diri untuk hidup dengan coronavirus.
Covid-19 akan dilihat sebagai virus endemik dan rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup
bersamanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]