Cikgu Sunita gigih bantu murid, keluarga miskin di Sabah

Cikgu Sunita gigih bantu murid, keluarga miskin di Sabah

Sunita Vincent sanggup melakukan apa saja demi memastikan muridnya tidak kelaparan dan tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Guru Bahasa Inggeris Sunita Vincent berusaha keras untuk membantu murid dan keluarga miskin di Kudat. (Gambar Sunita Vincent)
KUDAT:
Memandangkan kebanyakan keluarga terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), pelajar yang lazimnya mengikuti kelas di sekolah kini perlu beralih kepada pembelajaran dalam talian.

Ini secara teorinya bukan satu masalah asalkan setiap murid mempunyai akses kepada peranti digital dan internet.

Bagaimanpun hakikatnya akses itu masih merupakan satu keistimewaan. Di pedalaman Sabah, sukar untuk kanak-kanak ini mendapatkan peranti, apatah lagi sambungan internet.

Pelaksanaan PKP dan penutupan sekolah menyebabkan ramai anak-anak di kawasan ini tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa.

Keadaan ini disedari Sunita Christine Vincent, seorang guru dengan 20 tahun pengalaman yang dipindahkan ke sebuah sekolah di Kudat sejak Februari lalu untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris. Perintah sekatan yang seterusnya bermakna kelas perlu dijalankan secara maya.

Sunita memberikan makanan kepada salah seorang muridnya yang kebanyakannya tidak mempunyai gajet untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. (Gambar Sunita Vincent)

“Hanya lima hingga tujuh orang murid daripada keseluruhan 32 orang aktif mengikuti sesi dalam talian setiap hari. Saya dapati senario yang hampir sama berlaku dengan kelas untuk mata pelajaran lain,” kata Sunita kepada FMT.

Senario itu mendorongnya untuk melihat sendiri mengapa anak-anak itu tidak hadir. Sebabnya cukup serius – ibu bapa mereka kebanyakannya adalah petani, buruh dan nelayan yang berpendapatan rendah sejak sebelum wabak itu lagi.

Dengan pelaksanaan PKP, ramai hilang pekerjaan. Ini bermakna anak-anak tidak mempunyai akses kepada alat pembelajaran dalam talian.

Dengan sumber pendapatan yang terputus, banyak keluarga berdepan kekurangan makanan. (Gambar Sunita Vincent)

“Ketika fasa ketiga pembelajaran dalam talian diperkenalkan, saya memutuskan pilihan terbaik adalah untuk menyediakan salinan cetak untuk pelajar,” cerita Sunita.

Walaupun jauh dari kediaman mereka, dia mengunjungi murid-murid ini secara peribadi untuk menyerahkan modul yang disediakan, malah menghadiahkan biskut dan minuman berkhasiat untuk menaikkan semangat mereka.

Ini bukan tugas yang mudah kerana pengedaran harus dilakukan dengan amalan prosedur penjarakan sosial yang ketat dan pada waktu yang berlainan setiap hari, kadang-kala pada waktu malam.

“Sebahagian mereka tinggal sejauh hampir 20km,” tambahnya.

Rakan dan keluarga Sunita adalah sumber kekuatan utama usahanya itu, begitu juga beberapa NGO yang turut memberikan bantuan makanan kepadanya untuk diedarkan.

Usahanya turut disedari penduduk tempatan. Oleh kerana ramai penduduk di Kudat berpendapatan rendah, rayuan untuk mendapatkan bantuan mula sampai ke telinga Sunita.

Sunita memberikan bantuan makanan kepada hampir 200 keluarga yang kelaparan. (Gambar Sunita Vincent)

Dia kini menyediakan makanan untuk mereka yang memerlukan dan membantu kira-kira 200 isi rumah.

“Tapi ia masih tidak mencukupi,” keluhnya. “Orang tidak dapat bekerja sepanjang PKP dan sebungkus beras 5kg hanya mampu bertahan sekitar seminggu untuk keluarga yang mempunyai lima hingga enam orang.”

Menurutnya, tidak seperti di Malaysia Barat di mana terdapat lebih banyak bank makanan dan ‘soup kitchen’, pedalaman Sabah tidak mempunyai inisiatif itu.

Ia diburukkan lagi dengan kedudukan antara wilayah yang jauh jaraknya sekali gus menyukarkan pergerakan logistik agar bantuan makanan dapat dihantar kepada mereka yang memerlukannya.

Namun, ia tidak pernah menghalang rancangan Sunita untuk mewujudkan ‘soup kitchen’ di sekolahnya yang akan terus beroperasi walaupun wabak sudah berakhir.

Sunita berharap lebih ramai orang akan tampil untuk membantu penduduk luar bandar di Sabah. (Gambar Sunita Vincent)

“Setelah semuanya kembali normal, rancangannya adalah untuk memastikan semua murid diberi makan sebelum mereka pulang, sekurang-kurangnya mereka mendapat satu hidangan makanan yang lengkap sehari.”

Dia berkata, sebahagian pelajarnya hanya makan nasi biasa yang dicampur dengan garam dan air, sementara ada juga yang hanya beralaskan secawan kopi.

Sunita turut menyasarkan untuk mewujudkan sambungan internet yang baik di sekolahnya bagi membolehkan murid-murid menikmati faedah kelas abad ke-21 sepenuhnya dan berharap dapat menyediakan peranti digital yang bersesuaian.

“Dengan situasi semasa dan kadar vaksinasi yang perlahan, kelihatan seperti pembelajaran dalam talian akan dilanjutkan lagi,” katanya. “Saya sendiripun masih belum divaksin kerana berada dalam senarai menunggu.”

Dia meminta kepada sesiapa sahaja yang dapat membantunya dalam usaha ini. “Hari ini ramai orang menukar telefon bimbit sama seperti menukar pakaian. Sekiranya ada yang mempunyai telefon bimbit yang tidak digunakan, ia pasti akan dapat mengubah kehidupan pelajar miskin ini.”

Dalam pada itu, Sunita telah membantu untuk membelikan bekalan dan keperluan kerana percaya itu adalah perkara yang berperikemanusiaan untuk dilakukan.

“Bagaimana kita boleh tidur lena ketika insan lain menderita? Saya boleh bayangkan bagaimana keadaan anak-anak saya jika kami berada dalam situasi yang sama.

“Saya pernah mengalami saat-saat sukar dan saya tahu bagaimana rasanya untuk tidak punya apa-apa.”

Walaupun menyedari masih banyak yang perlu dilakukan untuk membela nasib penduduk miskin di luar bandar, dia cukup menghormati mereka yang berusaha untuk membantu insan lain dalam masa yang sukar ini.

“Melihat semangat rakyat Malaysia yang menyahut slogan ‘kita jaga kita’ dan saling membantu selama ini, cukup menyentuh perasaan,” kata Sunita.

“Besar harapan saya, bagi sesiapa sahaja yang membaca artikel ini dan berkemampuan akan tampil ke hadapan untuk membantu pelajar miskin yang merupakan masa depan negara kita.”

Untuk turut sama menyumbang kepada usaha Sunita, sila berhubung terus di talian 016-2352016.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.