Benjy sudah tiada

Benjy sudah tiada

Benjy meninggal dunia akibat asma di sebuah hospital di Medan, Indonesia.

Allahyarham Benjy Ibrahim meninggal dunia akibat asma di sebuah hospital di Medan, Indonesia pagi tadi.
PETALING JAYA:
Anak kepada seniwati terkenal, Allahyarham Azean Irdawaty, Benjy, 43, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit asma di sebuah hospital di Medan, Indonesia, pagi tadi.

Khabar pemergian pemilik nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim itu disahkan bapanya, Khairil Anwar Zainal Muktar Rashidi.

“Ben meninggal dunia di sebuah hospital di Medan akibat serangan asma, hari ini,” katanya dalam mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

Benjy dijatuhi hukuman penjara selama 11 tahun atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu di Indonesia pada 2017.

Pada 2018, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi pernah mengunjungi arwah di Penjara Tanjung Gusta, Medan.

Namun, keadaan kesihatan aktor yang pernah merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu sudah terganggu akibat penyakit asma dan batuk berpanjangan.

Setahun kemudian kunjungan Setiausaha Agong Seniman, Hafiz Nafiah mendapati penyakitnya semakin serius.

Menurut Hafiz, pihaknya ada berhubung dengan pejabat Konsulat Malaysia untuk urusan pengebumian pelakon itu.

Allahyarham Benjy pernah mendirikan rumah tangga dengan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee pada Februari 2004. Mereka bagaimanapun bercerai pada 2013.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Firdaus Juan Benjamin, 16.

Difahamkan keluarga mahu jenazah arwah diuruskan dan dikebumikan di Medan. Ini kerana kos membawa pulang jenazah menelan belanja yang besar.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.