
Yuna, artis wanita bertudung pertama dari Asia Tenggara yang terlibat dalam kempen terbaharu jenama fesyen terkemuka, Coach.
Penyanyi kelahiran Malaysia ini telah melakarkan rekod tersendiri apabila menghiasi kempen jenama antarabangsa dari Amerika Syarikat yang cukup terkenal dengan aksesori mewah terutama tas tangan.
Baru-baru ini Coach telah berkongsi video kempen terbaharu yang menyaksikan Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai menghiasi kempen tersebut bersama bintang ternama dunia lain.
Selain Yuna, bintang antarabangsa lain iaitu Jennifer Lopez, Michael B Jordan, Camila Morrone, Rickey Thompson, Kim Petras, Kiko Mizuhara dan Quincy turut menghiasi kempen tersebut.
Dengan rasa gembira, Yuna telah memuat naik video tersebut di laman Instagramnya.
“Terima kasih buat semua yang bekerja untuk penggambaran video ini,” tulisnya di Instagram.
Terdahulu, pada Mac lalu, Yuna dipilih sebagai satu-satunya wakil dari Malaysia untuk kempen jenama tersebut, Originals Go Their Own Ways.
“Menjadi original adalah melakukan sesuatu yang tiada orang lain fikir untuk lakukan. Ikut rasa hati walaupun orang fikir anda pelik atau berada di tempat yang salah.
“Apa yang penting, anda percaya dengan diri anda sendiri dan anda tahu yang anda punya sesuatu yang istimewa untuk dikongsikan kepada dunia,” ujar isteri kepada Adam Sinclair itu dalam satu muat naik video.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]