Isteri Sheikh Muszaphar, Dr Halina selamat lahirkan sepasang kembar

Isteri Sheikh Muszaphar, Dr Halina selamat lahirkan sepasang kembar

“Impian saya untuk miliki anak ramai menjadi kenyataan dan kelahiran ini menjadikan saya amat gembira dan bersyukur,” katanya.

Sheikh Muszaphar dan Dr Halina menimang cahaya mata ke-lima dan ke-enam mereka.

Kuala Lumpur: Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 48, mendapat sepasang lagi bayi kembar hari ini.

Isterinya, Datin Dr Halina Mohd Yunos, 39, selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 9.47 pagi dan diikuti bayi perempuan pada 9.48 pagi secara pembedahan di Pusat Perubatan Sunway.

“Impian saya untuk miliki anak ramai menjadi kenyataan dan kelahiran ini menjadikan saya amat gembira dan bersyukur,” katanya.

Malah, menurut Dr Sheikh Muszaphar, beliau juga sudah mula merancang untuk mendapatkan anak ketujuh sebaik anak kembarnya itu dilahirkan.

“Saya memang sukakan kanak-kanak dan saya mahukan anak yang ramai kerana mahu membimbing mereka yang dilihat seperti versi saya yang kecil.

“Memanglah semasa kecil agak sukar untuk menjaga mereka. Tetapi bila meningkat dewasa nanti, merekalah penghilang kesunyian apabila kami sudah tua,” jelasnya.

Menurutnya, kerana itulah dia sudah bercadang untuk mendapatkan anak ke-tujuh. Namun, sebelum itu dia harus meyakinkan isterinya terlebih dahulu.

“Empat lagi anak saya sudah tidak sabar untuk berjumpa adik-adik mereka. Ketika ini, hanya saya seorang dibenarkan melawat isteri serta anak di hospital kerana situasi Covid-19.

“Isteri kini dalam keadaan baik dan sudah boleh makan serta berjalan. Jika tiada aral, isteri mungkin dibenarkan pulang ke rumah Ahad ini, namun bergantung kepada keadaan luka pembedahan,” katanya lagi.

Dr Sheikh Muszaphar telah dikurniakan anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah yang kini berusia tiga tahun serta dua lagi anak perempuan iaitu Sophea Isabella, 9 dan Sophea Natasha, 7.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.