Guru OKU guna duit poket bantu pelajar beli bahan lukisan

Guru OKU guna duit poket bantu pelajar beli bahan lukisan

Sayangnya dia kepada anak-anak murid begitu juga dengan seni lukisan membuatkan Yuszairi Yusof, 40 tahun tidak lokek untuk menggunakan duit sendiri bagi membelikan bahan-bahan tersebut.

Cikgu Yuszairi menunjukkan hasil karya lukisan realistik burung Raja Udang (lukisan kiri) dan burung Robin. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Setiap bulan dia akan peruntukkan antara RM100 hingga RM200 bagi membeli bahan lukisan kepada pelajarnya yang kebanyakannya datang daripada keluarga susah.

Sayangnya dia kepada anak-anak murid begitu juga dengan seni lukisan membuatkan Yuszairi Yusof, 40 tahun tidak lokek untuk menggunakan duit sendiri bagi membelikan bahan-bahan tersebut.

“Saya bantu beli dan hantar barang untuk mereka melukis, mereka bukan anak orang senang. Kalau saya tak buat begini, memang sukar untuk mereka dapatkan akses. Sebab itu saya kata kepada mereka cubalah melukis, dengan melukis Insya-Allah boleh cari duit,” katanya.

Sudah berkhidmat selama 14 tahun sebagai pendidik, Yuszairi sentiasa memberi keyakinan kepada anak muridnya bahawa bidang seni juga boleh memberi mereka masa depan yang cerah.

“Kebanyakan dari pelajar saya datang dari keluarga susah dan saya sering ingatkan mereka bahawa bidang seni juga boleh mendatangkan keuntungan. Ada bekas pelajar saya yang mengukir kejayaan dalam bidang ini dan berjaya membuka studio sendiri.

“Saya juga mahu mereka tonjolkan minat dalam bidang seni sebab itu saya katakan kepada mereka, seni boleh melepaskan tekanan. Apa yang kita rasa dan fikirkan boleh diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan dan macam-macam lagi,” jelas penerima Anugerah Cemerlang Guru OKU peringkat negeri dan juga daerah pada tahun 2019 ini.

Yuszairi yang mengajar subjek Seni Visual di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kota Tinggi, dekat Kluang, adalah salah seorang daripada 3,120 orang pelukis yang menyertai Pameran Komuniti Artgeng di Galeri Seni, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru, baru-baru ini.

Dia turut mendorong dua orang pelajarnya menyertai pameran itu dan kesemua 10 lukisan yang mereka hasilkan turut terpilih untuk dipamerkan. Lapan daripada lukisan itu berkonsepkan siri burung yang dilukis oleh Yuszairi dibeli oleh Yayasan Warisan Johor.

Guru yang berasal dari Kluang ini, pernah melalui peristiwa hitam pada tahun 2011. Emosinya begitu tertekan selepas terlibat dalam kemalangan dengan lori treler sehinggakan tulang tangan kirinya hancur dan digantikan dengan sendi palsu.

Bagaimanapun, semangatnya kembali pulih apatah lagi dengan dorongan bekas pelajarnya, Konstabel Mohd Qayum’aiqal Zolkipli yang mahu gurunya kembali meneruskan kerjayanya sebagai guru untuk mendidik anak bangsa.

Mohd Qayum’aiqal adalah muridnya ketika beliau mengajar di SMK Banang Jaya dekat Batu Pahat selama dua tahun.

“Dia yang beri semangat kepada saya. Dia kata cikgu boleh bentuk saya sampailah saya jadi seorang komando, jadi cikgu pun mesti boleh. Alhamdulillah, saya bangkit dan berkat doa semua pihak, saya kembali boleh berjalan seperti biasa,” katanya.

Pada bulan Mei tahun 2012, Yuszairi kembali ke sekolah dan mula bekerja seperti biasa. Pada peringkat awal, dia mengambil ubat tahan sakit yang diberikan doktor, selain berjalan menggunakan bantuan tongkat sehingga tahun 2016.

“Saya ingin tunjuk kepada pelajar bahawa walau saya ada kekurangan, saya berjaya bangkit, malah berlatih melukis kembali sebab tangan ketika itu susah untuk digerakkan,” katanya yang merupakan Naib Johan Inovasi Guru OKU Negeri Johor tahun 2019.

Semua yang dilakukannya itu adalah demi untuk menarik minat pelajarnya dalam bidang seni, sekaligus mengubah pemikiran mereka terhadap bidang yang sering dipandang enteng.

Dalam masa yang sama, bapa kepada lima cahaya mata turut menyertai pelbagai pertandingan melukis di samping turut mendorong pelajarnya menyertai pertandingan mahupun pameran melukis bagi memastikan mereka dapat memperolehi sijil yang disifatkan berharga bagi seorang pelukis.

Dengan nada sebak dan air mata bergelinangan, Yuszairi berkata beliau ingin membantu pelajarnya mendapatkan sijil menerusi penyertaan dalam pameran berkenaan. Mereka boleh menggunakan sijil berkenaan jika ingin menyambung pelajaran dalam bidang seni kelak.

Anak jati Johor itu berpandangan, masyarakat haruslah mengubah mentaliti mereka tentang subjek Seni Visual dan tidak menganggapnya sebagai subjek yang ‘sia-sia’.

“Berbeza di luar negara, bidang seni dipandang tinggi dan masyarakat harus lihat bahawa seni ini boleh mendatangkan keuntungan kepada seseorang. Malah bagi saya, jika tiada seni, maka tiadalah budaya,” katanya.

Yuszairi dalam masa yang sama mendoakan agar kesemua pelajarnya dapat memperoleh kejayaan pada masa akan datang dan berharap agar mereka dapat menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara suatu masa nanti.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.