5 sukan ekstrem, hobi mereka yang benar-benar berani

5 sukan ekstrem, hobi mereka yang benar-benar berani

Sukan-sukan ini juga dikatakan menjadi terapi minda serta menghilangkan tekanan.

Berkayak, mengajar tentang teknik imbangan badan. (Gambar Rawpixel)

Sukan ekstrem yang juga antara hobi khusus untuk mereka yang benar-benar ingin mencabar diri. Rasa takut dan gentar kini diukur dengan kemampuan dan keberanian melakukan aktiviti yang mencabar walaupun ia sangat berbahaya.

Sukan ini juga dikatakan menjadi terapi minda serta menghilangkan tekanan. Malah, ia turut membina hubungan manusia dengan alam dan dapat menerapkan nilai kecintaan terhadap kehidupan semula jadi. Berikut adalah lima jenis sukan ekstrem yang popular.

1. Berkayak meredah jeram

Sukan rekreasi berkayak meredah jeram dengan melawan arus ini mula mendapat tempat di hati pencinta sukan lasak sejak pertengahan tahun 1970-an lagi. Bagi yang baru mencuba, pastinya diburu rasa takut apatah lagi melihat kederasan air dan melalui cerun sungai berbatu yang menjunam boleh membuatkan sesiapa sahaja menjerit ketakutan.

Namun, perasaan itu akan berganti keseronokan apabila telah biasa dengan teknik mengimbang badan di atas kayak dan akhirnya menjadikan rasa ingin terus mencuba.

Aktiviti ini popular dilakukan di luar negara seperti di Rion Micos, Mexico; Litte River Canyon di Alabama, Amerika Syarikat dan lain-lain. Jika di Malaysia lokasi yang terbaik adalah semasa musim hujan di Sungai Padas, Sabah: Sungai Selangor di Kuala Kubu Bahru, Selangor; Sungai Sungkai, Sungai Kampar, Sungai Tembeling di Taman Negara, Pahang.

2. ‘Base jumping’

Sukan yang berasal dari aktiviti ‘sky diving’ ini menghendaki anda terjun dari atas bangunan atau jambatan dengan ketinggian 100 meter menggunakan payung terjun. Bagaimana pun untuk melakukan di banggunan, anda perlukan permit.

Sukan ini banyak dilakukan di luar negara dan tempat-tempat yang popular adalah seperti Menara Eiffel, Jambatan Golden Gate, Angel Falls dan lain-lain.

Manakala di Malaysia, lokasi yang dirasakan sesuai adalah Gua Damai Extreme Park di Batu Caves, Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Setar, Wisma Sanyan di Sibu, Sarawak dan Menara Tun Mustapha di Kota Kinabalu, Sabah.

Menyelam di dalam gua memerlukan peralatan yang sama seperti aktiviti menyelam. (Gambar Rawpixel)

3. Menyelam di dalam gua

Aktiviti ini selalu dilakukan di dalam gua yang mempunyai air yang dalam. Ianya agak merbahaya dan memerlukan peralatan yang sama seperti aktiviti menyelam. Ia sesuai untuk mereka yang pakar menggunakan teknik selaman.

Namun begitu, aktiviti ini memberikan ketenangan kerana menyelam di dalam gua mendedahkan penyelam kepada kehidupan flora dan fauna yang sangat menarik. Penyelam juga dapat menikmati persekitaran gua yang unik dan luar biasa, ianya amat mengujakan bagi pencinta alam semula jadi.

Di luar negara, beberapa tempat yang popular seperti Mount Gambier dan Blue Lake City, South Australia; Orda Cave, Rusia dan lain-lain. Sementara di Malaysia semestinya gua misteri Turtle Tomb berdekatan Pulau Sipadan.

Volcano surfing’ dilakukan dengan meluncur dari atas gunung berapi atau lereng bukit. (Gambar Rawpixel)

4. Luncur gunung berapi

‘Volcano surfing’ juga dikenali sebagai ‘volcano boarding’ menggunakan papan lapis atau papan besi. Sukan luncur ini dilakukan dengan meluncur dari atas gunung berapi atau lereng bukit. Ia dianggap mencabar dan merbahaya sekiranya tidak menggunakan peralatan atau pakaian yang selamat. Lebih-lebih lagi jika luncuran dilakukan di gunung berapi yang masih aktif.

Sukan ini dianggap masih baru walaupun sudah 10 tahun popular di negara barat. Cerro Negro atau Black Hill di Nicaragua, Amerika Tengah adalah gunung berapi yang pertama menawarkan sukan ekstrem ini.

“Rock climbing” memerlukan peralatan lengkap untuk keselamatan manakala memanjat solo hanya menggunakan kekuatan fizikal. (Gambar Rawpixel)

5. Memanjat solo

Aktiviti memanjat perseorangan tanpa mengunakan tali dan peralatan keselamatan. Ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menawan permukaan batu dan cerun yang mencabar bagi menguji daya ketahanan pendaki.

Aktiviti ini boleh dilakukan di mana sahaja asalkan strukturnya tepat untuk memanjat. Di Malaysia banyak tempat sesuai untuk sukan mencabar ini seperti Tembok Damai di Batu Caves yang juga merupakan kawasan memanjat paling popular. Selain itu, Bukit Takun di utara Kuala Lumpur, Gunung Mulu di Saraway dan banyak lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.