Inisiatif RPAP membantu pesakit kanser kurang mampu

Inisiatif RPAP membantu pesakit kanser kurang mampu

RPAP iaitu Program Bantuan Pesakit Roche (RPAP) merupakan sistem bayaran bersama antara kedua-dua pihak kepada pesakit yang berhadapan masalah kewangan sewaktu rawatan.

Free Malaysia Today
Pengurus Besar Roche Malaysia, Lance Duan.

Bukan mudah untuk menerima berita dihidapi sesuatu penyakit dan salah satu daripada penyakit yang paling digeruni ialah kanser atau barah.

Selain faktor kesihatan, penyakit ini juga digeruni kerana kos perubatannya yang rata-rata membebankan pesakit yang sudah sedia terkesan.

Mengambil kira perkara itu, syarikat farmaseutikal ternama, Roche Malaysia menawarkan akses kepada pesakit terpilih untuk membantu pesakit yang layak mengakses kepada rawatan dan ubatan.

Namun, ia bukanlah program percuma sepenuhnya sebaliknya inisiatif yang dikenali sebagai Program Bantuan Pesakit Roche (RPAP) ini merupakan sistem bayaran bersama antara kedua-dua pihak.

Dalam soal ini, RPAP sememangnya komited untuk membantu pesakit yang layak menerusi kerjasama Pasukan Bantuan Roche.

Menurut Pengurus Besar Roche Malaysia, Lance Duan, program ini didedikasikan untuk memberikan sokongan dan perkhidmatan tambah nilai kepada pesakit yang berdepan dengan perbelanjaan perubatan yang tidak sepenuhnya dilindungi oleh insurans, manfaat korporat atau pembiayaan lain dari pihak ketiga.

Program yang diperkenalkan sejak 2007 memanfaatkan lebih 5,000 pesakit Malaysia dan angka ini terus berkembang.

Sebagai satu inisiatif membantu pesakit yang tidak mempunyai perlindungan insurans atau kurang mampu mendapatkan rawatan, RPAP membolehkan pesakit mendapat sebahagian daripada rawatan dengan ubatan ihsan.

Bagaimana caranya?

“Doktor akan mengesyorkan pesakit yang layak. Dari situ kita akan mendaftarkan pesakit ke dalam program ini. Roche Malaysia tidak boleh memulakan pendaftaran sehingga syarat kelayakan anda telah dinilai dan disahkan,” jelas beliau dalam satu temuramah yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Caranya mudah sahaja:
– Pihak hospital atau doktor akan memilih pesakit yang layak mengikut penyakit dan indikasi penyakit
– Doktor akan menghubungi wakil Roche
– Pesakit perlu mendaftar dalam program RPAP secara sistem dalam talian mengikut arahan dan pimpinan doktor.
– Seterusnya Roche akan menawarkan bantuan perubatan mengikut keperluan pesakit dan skima RPAP.

Menariknya, RPAP bukan sahaja terhad kepada pesakit kanser, sungguhpun ia menjadi sasaran paling banyak, Roche turut menawarkan bantuan sokongan ini kepada pesakit artritis reumatoid.

Statistik menunjukkan kira-kira 211 orang pesakit artritis reumatoid yang bermanfaat daripada program RPAP. Ia mungkin jauh lebih kecil dari pesakit kanser yang meliputi kanser peparu (1142), payudara (2624), usus (1155), ovari (387) dan kanser-kanser lain seperti pankreas, gastrik dan serviks (259).

Roche Malaysia mempunyai perkongsian pasaran farmaseutikal yang konsisten di negara ini di mana pada tahun 2017 perniagaannya berkembang 8% daripada keseluruhan perniagaan yang berkembang sebanyak 4%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.