Tompok jeragat, ‘freckles’ jadi trend solekan

Tompok jeragat, ‘freckles’ jadi trend solekan

Melukis bentuk bulu kening secara melampau, membentuk bibir mungil antara trend solekan yang sedang viral dan menjadi ikutan generasi muda.

Biasanya wanita memilih bersolek untuk kelihatan cantik menawan selain menampakkan kulit muka yang mulus tanpa sebarang cacat cela.

Namun, bertentangan dengan prinsip teras, ada juga memilih untuk bersolek dengan tujuan menunjukkan cela wajah, misalnya secara sengaja menggunakan bahan solek menghasilkan kondisi kulit yang tidak sihat.

Salah satu ikutan yang sedang trending pada masa kini ialah solekan ‘freckles’ atau tompok jeragat di sekitar batang hidung sehinggalah tersebar ke kedua-dua belah pipi.

Gaya ini umpama semakin menjadi-jadi apabila lebih ramai artis memuat naik gambar mereka dengan solekan freckles

Misalnya adik kepada artis Dan pengusaha tudung, Neelofa iaitu Ameera Khan atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan dan pelakon jelita, Uqasha Senrose.

Sebenarnya trend ini sudah lama popular di Indonesia dan barat apabila ramai yang menggunakan solekan tompokan jeragat sebagai sebahagian daripada gaya penampilan mereka.

Bagi seorang artis solek dari Klang, Devya Selvarajah, kondisi kulit seperti tompokan jeragat tidak sepatutnya dijadikan sebahagian daripada solekan.

“Ia umpama tidak menghargai kulit bersih. Ia satu perlakuan ‘kurang waras’ apabila kulit yang sihat ditunjukkan sebagai kurang sihat. Ia juga boleh menyinggung perasaan mereka yang mempunyai masalah kulit,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang solekan ini.

Trend seperti ini bagaimanapun katanya bukan baharu, sebaliknya berleluasa sejak sekian lama.

Devya mengambil contoh melukis bentuk bulu kening secara melampau dikenali gaya Mc D, membentuk bibir mungil dengan menekap gelas antara trend kosmetik yang sedang viral dan menjadi ikutan.

Dia juga akui tidak akan terkejut jika pada masa hadapan akan wujud pelbagai lagi trend kosmetik luar akal seperti menggelapkan mata dengan solekan dark circle, solekan eye bag, wajah berjerawat dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.