Selfie untuk menunjuk, komunikasi, kepuasan diri

Selfie untuk menunjuk, komunikasi, kepuasan diri

Bermacam-macam sebab seseorang itu mengambil 'selfie' atau berswafoto dan amalan ini menjadi ketagihan segelintir.

Menjadi semacam budaya pada hari ini apabila orang ramai dilihat sangat ‘gila’ berswafoto. Kemana pun mereka pergi atau apa sahaja yang mereka lakukan ia pasti akan dibingkaikan dengan ber’selfie’.

Ke tandas, ke kelas, ke restoran, ke perpustakaan atau ke mana sahaja mereka pergi, hendak makan, tidur, mandi, menyiapkan tugasan atau apa sahaja yang mereka lakukan, mereka pasti akan berswafoto.

Ia seolah-olah menjadi satu ketagihan bagi sebilangan orang. Rasa tidak lengkap hidup mereka jika mereka tidak berswafoto dalam sehari.

Saya ingin mendedahkan beberapa sebab orang ramai berswafoto. Ia adalah:

Cara baru untuk berkomunikasi

Berswafoto merupakan salah satu cara manusia moden berkomunikasi. Apabila mereka berswafoto, mereka akan memuat naik gambar itu di media sosial. Melalui gambar itu, mereka mahu memberitahu kepada orang ramai mengenai keberadaan mereka atau apa yang dilakukan. Jika mereka memberitahu kepada orang ramai melalui ucapan lisan, pasti orang berasa jengkel. Maka, gambar swafoto adalah cara terbaik untuk berkomunikasi dengan orang ramai mengenai keadaan diri pada sesuatu masa.

Untuk menyimpan memori atau kenangan

Bergambar adalah salah satu cara manusia menyimpan memori atau kenangan yang berlaku dalam kehidupan mereka. Otak manusia memang tidak dapat menyimpan banyak memori dalam tempoh masa yang lama. Maka, dengan bantuan gambar swafoto banyak memori indah dalam hidup manusia dapat disimpan. Misalnya ketika berkelah di tepi pantai yang indah, ketika anak baru dilahirkan, ketika menyambut hari lahir kawan dan sebagainya.

Untuk menunjuk-nunjuk

Tidak dinafikan, terdapat orang tertentu yang suka berswafoto untuk menunjuk-nunjuk kemewahan dan kekayaan yang mereka ada. Setiap kali mereka membeli kereta mewah, rumah besar atau beg tangan yang mahal, pasti berswafoto dengan barang-barang tersebut. Tujuannya, untuk menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan di media sosial. Mereka berasa bangga melakukan perbuatan itu kerana mereka tahu tidak ramai orang mempunyai kelebihan seperti mereka.

Untuk ekspresi diri

Sekeping gambar sebenarnya bernilai seribu perkataan. Dalam sekeping gambar juga mempunyai sebuah cerita di sebaliknya. Gambar swafoto yang diambil dengan cara tertentu akan memberi nilai tambah kepada gambar tersebut. Terdapat orang tertentu yang mengambil gambar swafoto untuk mengekspresikan sesuatu kepada orang yang melihat gambar tersebut. Hanya orang yang melakukan swafoto sahaja yang memahami apa yang ingin mereka sampaikan dan maksud di sebalik gambar yang mereka muat naik di media sosial itu.

Pengaruh media sosial

Kewujudan media sosial seperti Instagram menyebabkan gejala berswafoto ini semakin berleluasa terutama dalam kalangan generasi muda. Mereka berlumba-lumba untuk berswafoto untuk dimuat naik ke Instagram bagi menunjukkan gambar-gambar tersebut kepada rakan-rakan mereka. Oleh kerana ramai orang melakukan perbuatan tersebut, maka perbuatan berswafoto ini telah menjadi budaya ikutan oleh ramai orang pada hari ini.

Untuk mempengaruhi orang lain

Perkara ini dilakukan oleh golongan selebriti untuk mempromosikan sesuatu. Misalnya mereka berswafoto dengan poster filem terbaru mereka untuk mengajak orang ramai pergi menonton filem tersebut di pawagam ataupun mereka berswafoto dengan produk-produk tertentu supaya orang ramai membeli produk-produk tersebut.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.