Stadium Hang Jebat bakal ‘dihidupkan’ semula

Stadium Hang Jebat bakal ‘dihidupkan’ semula

Usaha mempelbagaikan fungsi Stadium Hang Jebat yang boleh memuatkan 40,000 penonton mampu setanding dengan Axiata Arena sekali gus membantu mempromosikan Melaka menjadi destinasi pelancongan yang terbilang di rantau Asia.

Keberkesanan pengurusan Axiata Arena di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Emirates Stadium di London, England memberi inspirasi kepada pengurusan baharu Stadium Hang Jebat untuk mengoptimumkan kegunaan stadium itu.

Ketika pertama kali menjejakkan kaki di Stadium Hang Jebat di Krubong di sini, Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium Melaka Nick Yong Yoon Pin membulatkan tekad untuk ‘menghidupkan’ stadium yang kelihatan suram itu.

Bergantung kepada perlawanan bola sepak atau acara sukan lain sahaja tidak memadai, menyebabkan Yong merujuk kepada stadium-stadium lain untuk mendapatkan inspirasi bagi mentransformasikan Stadium Hang Jebat menjadi stadium pelbagai guna.

Justeru itu, Yong yang juga anak jati Melaka yang berasal dari Kampung Lapan di sini, merancakkan lagi aktiviti kalendar tahunan stadium itu termasuk mengadakan aktiviti hiburan dan kebudayaan untuk menarik lebih ramai orang berkunjung ke Stadium Hang Jebat serta venue sukan lain di Melaka.

Perubahan

Bekas juruperunding di sebuah syarikat perindustrian itu berkata beliau bertekad untuk membawa perubahan terbaik bagi pentadbiran perbadanan berkenaan, sekaligus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat negeri ini.

“Kita bertekad untuk lakukan perubahan terbaik agar ia dapat dinikmati semua rakyat…untuk mencapai kejayaan itu, kita memerlukan kerjasama serta keazaman tinggi daripada semua pihak yang terlibat supaya segala yang dirancang dapat direalisasikan pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Yong, 39, yang diberi amanah mentadbir venue kebanggaan rakyat Melaka sejak 6 Jun lepas, berkata kawasan di sekitar Stadium Hang Jebat perlu dihidupkan kembali bagi mewujudkan keceriaan stadium yang berusia 14 tahun itu.

Dengan adanya perubahan dengan mempelbagaikan fungsi stadium, beliau percaya Stadium Hang Jebat yang boleh memuatkan 40,000 penonton mampu setanding dengan Axiata Arena sekali gus ia membantu mempromosikan Melaka menjadi destinasi pelancongan yang terbilang di rantau Asia.

“Selain itu, menerusi kerancakan aktiviti di stadium, ia mampu memberi impak yang baik kepada sektor pelancongan sukan negara. Tidak dinafikan, bukan mudah untuk melakukan perubahan secara mendadak, terutama dalam soal membabitkan kos menaik taraf segala kemudahan yang ada.

“Namun, apa yang penting kita harap perancangan ini dibuat secara berterusan tanpa ada rasa putus asa,” katanya.

Sokongan kerajaan negeri

Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, Yong berkata pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperincikan aktiviti yang akan diadakan di stadium tersebut.

“Kita harap kerajaan negeri Melaka dapat memberi sokongan yang terbaik kepada cadangan ini kerana ia bukan untuk diri saya sendiri namun demi Perbadanan Stadium Melaka dan menaikkan martabat serta imej negeri Melaka.

“Selain mengurus dan membangunkan perbadanan ini, kita juga mahu mempromosikan venue utama di Kompleks Sukan Hang Jebat (KSHJ) secara lebih profesional, sistematik, cekap dan paling penting kita akan pelbagaikan kegunaan stadium secara maksimum,” katanya.

Perbadanan Stadium Melaka, yang ditubuhkan di bawah Enakmen Perbadanan Stadium Melaka 2004, memulakan operasi pada 16 Sept 2004 dengan menguruskan gelanggang dan pusat di bawah KSHJ iaitu Stadium Hang Jebat, Pusat Akuatik Hang Jebat, Pusat Squash Hang Jebat, Pusat Lawn Bowl Hang Jebat, Pusat Ekuestrian Hang Jebat dan Kompleks 10 Padang Bolasepak Hang Jebat.

Selain itu, perbadanan juga menguruskan 3 venue sukan di luar kawasan KSHJ seperti Pusat Perahu Layar Hang Jebat di Pengkalan Balak, Arena Petanque Hang Jebat di Kampung Gelam dan Stadium Hang Tuah di Jalan Hang Tuah.

Cabaran utama

Yong, lulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), berkata untuk mencapai sesuatu matlamat, perlulah ada kesabaran dan ketenangan dalam mendepani cabaran yang dihadapi.

Beliau berkata antara cabaran utama yang perlu dihadapinya adalah masalah isu kewangan yang perlu ditanggung Perbadanan Stadium Melaka.

“Selain hutang tertunggak, kita juga berdepan masalah aspek penyelenggaraan kemudahan venue utama di KSHJ kerana kebanyakan fasiliti yang ada, tidak diselenggara dengan baik terutama selepas Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 pada 2010,” katanya.

Pihaknya turut menitikberatkan soal keselamatan secara khusus bagi memastikan segala aktiviti yang diadakan di venue utama KSHJ seperti Stadium Hang Jebat berjalan lancar.

“Peristiwa 13 Mac 2016 menyaksikan insiden lebih 20 kenderaan dipercayai dirempuh sebuah treler di depan Stadium Hang Jebat menjadi pengajaran bagi kami agar perkara itu tidak berulang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.