
Donald Trump adalah Presiden Amerika Syarikat yang paling banyak kontroversi dan terlibat dalam pelbagai isu serta berita yang tidak sama sekali berpihak kepadanya.
Namun, lain pula ceritanya apabila ada pihak yang menjadikan Trump sebagai Tuhan
Ya, seorang lelaki dari Konne, Telengana di India menyembah dan memuja Trump sekaligus menjadikan ahli politik itu sebagai Tuhan.
Krishna, 30, menjadikan Trump sebagai Tuhan sejak 3 tahun lalu bertindak melakukan aktiviti pemujaaan sama seperti yang dilakukan dalam adat agama Hindu iaitu membaca mantera, menyalakan pelita dan mengambil ‘aarti’, menawarkan makanan dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, Krishna juga membawa gambar Trump ke mana sahaja dia pergi, bermeditasi dengan meletakkan bingkai gambar foto di atas ribanya.

Dalam satu video, Krishna kelihatan meletakkan gambar Trump di bawah pokok dan melakukan ritual memusing gambar tersebut dengan mengelilingi pokok berkenaan.
Bagi menunjukkan lagi rasa baktinya, Krishna membuka akaun khas di laman Facebook di mana dia berkongsi video dan gambar-gambar aktiviti hariannya ketika memuja Presiden AS di sebuah kuil di kampung halamannya.
Bagaimanapun kelakuan Krishna diakui tidak disenangi ahli keluarga yang pernah menasihatinya berjumpa doktor.
“Keluarga dan orang kampung memanggil saya gila dan minta saya untuk berjumpa dengan ahli psikologi. Saya hanya menjawab, ‘tidak perlu, anda semua yang patut berjumpa doktor’ kerana dia (Trump) adalah Tuhan saya dan saya tidak kisah dengan apa orang lain mahu katakan,” katanya kepada sebuah agensi berita.
Krishna terus berpegang kepada kepercayaannya dan akui kagum dengan kempen ”Make America Great” ketika Trump bertanding dalam pemilihan Presiden AS. Sejak detik itulah lelaki ini dikatakan menyembah Trump sebagai Tuhannya.
Tidak cukup dengan semua itu, Krishna dalam usaha membina kuil untuk Trump di kampungnya dan mengembangkan kepercayaan itu kepada lebih ramai orang.
Sebenarnya, di India, perbuatan memuja selebriti dan ahli politik bukan perkara baru. Ia berlaku sejak zaman-berzaman termasuk secara terbuka dan sah.
Misalnya Ketua Menteri, M.G.Ramachandran di daerah Tamil Nadu dan pelakon dari Mumbai yang kemudian menetap di Tamil Nadu, Kushbu mempunyai kuil di negeri itu.
Perdana Menteri India, Narendra Modi juga pernah mempunyai kuil di negeri kelahirannya, Rajkot di Gujarat namun dirobohkan selepas dituntut oleh beliau sendiri.