
Para saintis berjaya menghidupkan semula cacing prasejarah yang membeku dalam permafrost atau ibun abadi (tanah yang kekal atau selama-lamanya ditutupi oleh air beku di kawasan kutub) di Rusia selama hampir 42,000 tahun, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.
Cacing itu, yang dikenali sebagai nematod (cacing bulat atau cacing rambu) berasal daripada 2 sampel yang ditemui di Siberia.
Sampel pertama, berusia kira-kira 32,000 tahun, dijumpai dalam satu teras glasier pada kedalaman 30 meter di bawah permukaan deposit permafrost, manakala sampel kedua yang berusia 41,700 tahun, diambil pada kedalaman 3.5 meter di bawah permukaan deposit permafrost.
Saintis dari 4 institusi Rusia, dengan kerjasama Universiti Princeton, Amerika Syarikat, menganalisis lebih 300 sampel deposit permafrost Artik dan menemui kedua-dua sampel yang menyimpan beberapa nematod dalam keadaan baik.
Nematod terbabit, selepas dikeluarkan dari permafrost, perlahan-lahan dicairkan dalam piring petri dan disimpan pada suhu 20 darjah Celsius.
Haiwan invertebrata itu kemudian mula menunjukkan tanda-tanda ia masih hidup, bergerak dan makan selepas beberapa minggu.
Cacing itu, yang membeku semasa kebanyakan permukaan bumi dilitupi ais, menjadi benda hidup tertua di planet ini dengan satu margin yang luas.
“Data kami menunjukkan keupayaan organisma multiselular untuk bertahan dalam tempoh jangka masa yang panjang (puluhan ribu tahun) kriobiosis dengan keadaan kriokonservasi semula jadi,” kata para saintis terbabit kepada The Siberian Times.
Mekanisme mudah suai cacing itu mungkin juga penting dari segi saintifik dan praktikal bagi bidang-bidang seperti astrobiologi, iaitu mengesan makhluk ruang angkasa, serta krioperubatan dan kriobiologi – kajian berkaitan bagaimana suhu rendah melampau mempengaruhi kehidupan, menurut para saintis terbabit.
Kajian itu disiarkan dalam jurnal Doklady Biological Sciences pada Mei, dan boleh didapati secara online.