Dianggap tidak bertuah kerana berkulit gelap

Dianggap tidak bertuah kerana berkulit gelap

Walaupun memiliki raut wajah yang sempurna, tinggi lampai dengan badan tegap, namun Han menjadi mangsa rasisme kerana warna kulitnya.

han-2

Semasa menemuramah seorang lelaki Kelantan yang kini menetap di Korea Selatan, Muhamad Khalid Ismail pernah bercerita mengenai fanatisme warga Korea.

Khalid yang menjadi sensasi sosial selepas didapati bukan sahaja fasih berbahasa Korea malah sudah mengadaptasi diri dengan baik dalam kalangan penduduk di sana dan akui wujud cabaran menyesuaikan diri di kalangan masyarakat Korea.

Ia kerana sikap pandang rendah orang asing khususnya yang berkulit gelap oleh masyarakat setempat negara itu.

“Orang Korea suka memandang status, cara mereka memandang orang asing agak berbeza. Contohnya, orang berkulit cerah dipandang tinggi berbanding orang berkulit gelap. Orang negara barat dipandang tinggi berbanding orang Asia lebih-lebih lagi dari Asia Selatan dan tenggara,” katanya dalam satu temuramah tidak lama dulu.

han-1

Terbaru, seorang model kacukan Korea dan kulit hitam, Han Hyun-min menjadi mangsa rasisme selepas dikecam dan dipandang rendah ketika berada di pentas peragaan.

“Merekrut Han menjadi model umpama memperjudikan kerjaya kami. Ini kerana pereka fesyen pasti tidak mahu memilih Han yang berkulit hitam walaupun mempunyai kacukan Korea. Dia akan dianggap tidak bertuah,” demikian kata agen peragaan, Youn Bum.

Memiliki raut wajah yang tajam dan sempurna, tinggi lampai dengan badan tegap, namun warna kulit Han menjadi halangan di negara yang sangat berpegang kepada kemasyarakatan homogen.

Han, 16 tahun, bapanya berbangsa Nigeria dan ibunya warga Korea selalu menjadi mangsa diskriminasi sejak kecil lagi.

“Saya menjadi bahan bualan sejak di sekolah lagi. Saya melihat ibu bapa Korea di sini yang selalu menasihatkan anak mereka supaya tidak berkawan dengan saya. Orang suka memandang saya tetapi tidak mahu berkawan,” katanya dalam satu temubual dengan berita agensi.

“Seorang wanita tua tpernah anya saya, apa yang saya lakukan di negara orang. Saya membenci diri saya kerana terlalu unik untuk masyarakat ini,” jelasnya.

Namun kini dia gembira. Menjadi model di pentas peragaan, dia menerima pandangan orang terhadapnya secara positif.

“Sekarang mereka memandang saya kerana fesyen yang saya bawa di atas pentas. Ia menjadikan saya berasa lebih selesa,” tambahnya.

Walaupun terkenal dengan muzik, fesyen dan teknologi, rakyat Korea Selatan masih memegang kukuh sifat homogen dan fanatik sebangsa.

Justeru ia menghalang mereka untuk bermesra dengan rakyat negara asing, terutamanya yang berkulit lebih gelap.

Pelbagai insiden rasisme berlaku di negara itu termasuk keengganan rakyatnya menerima warga asing, memandang rendah orang berkulit gelap, memanggil dengan nama-nama menghina dan sebagainya.

Ramai yang enggan menaiki pengangkutan awam jika dinaiki warga asing atau berkunjung ke pusat makanan yang dikendalikan orang luar dengan melabelkan ia sebagai “kotor” dan “busuk”.

Peratusan kecil warga asing di Korea Selatan terdiri daripada rakyat China dan Jepun serta Asia Tenggara, namun mereka akui sukar bergaul mesra sesama rakyat negara itu apatah lagi mencari pasangan hidup.

Bagi remaja seperti Han yang menemui keyakinan dalam bidang peragaan berkata mahu terus belajar dan menjadi inspirasi kepada mereka yang “asing” sepertinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.