Palestin beri amaran bencana kemanusiaan makin buruk di Gaza

Palestin beri amaran bencana kemanusiaan makin buruk di Gaza

Israel terus menyasarkan orang awam, infrastruktur dan pusat perlindungan pelarian di seluruh Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa pada 10 Okt 2025.

Lebih 1,000 rakyat Palestin yang sebahagian besarnya merupakan wanita dan kanak-kanak terkorban sejak gencatan senjata diumumkan, manakala ribuan lagi cedera akibat serangan berterusan Israel. (Gambar AFP)
RAMALLAH:
Palestin memberi amaran pada Jumaat mengenai bencana kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza berikutan kempen ketenteraan Israel yang berterusan, sekatan dan kekangan terhadap bantuan kemanusiaan, serta menyifatkan situasi itu sebagai melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Israel terus menyasarkan orang awam, infrastruktur dan pusat perlindungan pelarian di seluruh Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa pada 10 Okt 2025.

Menurut kementerian itu, lebih 1,000 rakyat Palestin yang sebahagian besarnya merupakan wanita dan kanak-kanak terkorban sejak gencatan senjata diumumkan, manakala ribuan lagi cedera akibat serangan berterusan Israel.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 922 rakyat Palestin maut dan 2,786 lagi cedera akibat pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh pihak Israel sejak ia mula dikuatkuasakan.

Kementerian itu menyatakan situasi kemanusiaan terus meruncing memandangkan Israel mengekalkan sekatan di pintu sempadan, mengehadkan penghantaran bantuan serta menghalang kelancaran aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pihak kementerian menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

Kementerian itu turut memberi amaran bahawa sekatan berterusan oleh Israel boleh mencetuskan ‘kembalinya kebuluran yang meluas,’ memetik amaran yang dikeluarkan oleh Klasifikasi Fasa Keterjaminan Makanan Bersepadu (IPC).

Pada 30 April, Pengarah Komunikasi Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Jonathan Fowler memberitahu Anadolu bahawa Gaza sedang mengalami tahap krisis kemanusiaan paling teruk dan kebuluran yang berlaku adalah kesan daripada dasar-dasar Israel.

Walaupun gencatan senjata telah diisytiharkan, keadaan hidup di Gaza menunjukkan hanya sedikit peningkatan. Sekitar 1.9 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal daripada keseluruhan 2.4 juta populasi, terus mendiami khemah-khemah sementara yang kekurangan keperluan asas serta berdepan keadaan kemanusiaan yang amat sukar.

Menurut laporan Program Makanan Sedunia sebelum ini, kira-kira 1.6 juta penduduk di Gaza, atau 77% daripada populasi, berdepan masalah ketakjaminan makanan yang akut, termasuk lebih 100,000 kanak-kanak serta 37,000 wanita hamil dan ibu menyusukan anak.

Sehubungan itu, kementerian menggesa perantara antarabangsa, khususnya Amerika Syarikat (AS), untuk mendesak Israel menghentikan apa yang disifatkan sebagai jenayah terhadap orang awam Palestin, selain memastikan pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata serta resolusi PBB yang berkaitan.

Kementerian itu turut mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengenai rancangan untuk meluaskan operasi ketenteraan dan penguasaan Israel ke atas kira-kira 70% daripada Semenanjung Gaza.

Kenyataan berkenaan disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap perjanjian gencatan senjata dan cubaan sengaja untuk menjejaskan usaha antarabangsa yang bertujuan menamatkan perang serta menghalang pemindahan paksa penduduk.

Pada Khamis, Netanyahu menyatakan hasrat Israel untuk meluaskan kawasan di bawah kawalan tentera di Gaza kepada 70%, selepas mengakui bahawa tentera Israel kini menguasai kira-kira 60% daripada wilayah berkenaan.

Pasukan tentera Israel sebelum ini mengumumkan penguasaan ke atas 53 peratus wilayah Gaza selepas berundur ke kawasan yang dipanggil ‘Garisan Kuning’ di bawah fasa pertama rangka kerja gencatan senjata yang disokong oleh Presiden AS Donald Trump.

Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas perang selama dua tahun di Gaza yang bermula pada 8 Okt 2023. Menurut angka daripada pihak Palestin dan PBB, konflik berkenaan telah mengorbankan lebih 72,800 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,800 yang lain, di samping memusnahkan kira-kira 90% infrastruktur awam di wilayah terkepung itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.