Trump naik lagi tarif global kepada 15%

Trump naik lagi tarif global kepada 15%

Presiden AS sebelum ini umum kadar 10% susulan keputusan Mahkamah Agung batal pelaksanaan tarif yang diputuskan tidak mengikut Perlembagaan.

donald trump
Presiden AS Donald Trump beri alasan mengenakan tarif kerana banyak negara didakwa mengambil kesempatan terhadap negaranya selama berdekad. (Gambar EPA Images
KUALA LUMPUR:
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan menaikkan tarif global kepada 15% daripada 10% susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan kebanyakan langkah perdagangan diperkenalkannya sebelum ini.

Menurut Trump menerusi akaun Truth Social, kenaikan itu iaitu di bawah Seksyen 122 akan berkuat kuasa serta-merta dan sebagai tambahan kepada tarif sedia ada.

“Saya, selaku presiden AS, berkuat kuasa serta-merta, akan menaikkan tarif seluruh dunia sebanyak 10% ke atas negara-negara, yang kebanyakannya telah ‘mengambil kesempatan’ terhadap AS selama beberapa dekad, tanpa AS bertindak balas terhadap situasi itu (sehingga saya memegang jawatan presiden!), kepada 15% yang dibenarkan, dan sah dari segi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, pentadbiran Trump akan menentukan dan memaklumkan tarif baharu yang dibenarkan di sisi undang-undang.

Pada Jumaat, Mahkamah Agung AS memutuskan penggunaan kuasa darurat oleh presiden itu untuk mengenakan tarif digelar sebagai timbal balas terhadap hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.

Sambil mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu turut memutuskan bahawa Trump melangkaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.

Keputusan untuk membatalkan sebahagian besar tarif diperkenalkan Trump itu dinyatakan dalam dokumen setebal 170 muka surat.

Sehubungan itu, Trump kemudiannya berkata beliau telah menandatangani dokumen yang mengenakan tarif 10% ke atas semua import daripada setiap negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.