
RUU dikenali Akta Perlindungan Perpaduan Nato itu diperkenalkan Senator Demokrat, Jeanne Shaheen dan Senator Republikan, Lisa Murkowski pada Selasa.
RUU itu akan melarang penggunaan dana Pentagon atau Jabatan Negara untuk menyekat, menduduki, merampas, menjalankan operasi ketenteraan, atau sebaliknya menegaskan kawalan ke atas wilayah berdaulat anggota Nato tanpa persetujuan negara terbabit.
“Sebarang cadangan AS mungkin menggunakan kuasanya untuk merampas atau mengawal wilayah sekutu Nato akan secara langsung menjejaskan pakatan yang menjamin keselamatan rakyat Amerika, selain memberi kelebihan kepada musuh kita,” kata Shaheen dalam kenyataan.
RUU itu menghantar mesej jelas bahawa retorik baru-baru ini berhubung Greenland sangat menjejaskan kepentingan keselamatan nasional AS sendiri dan berdepan bantahan dwipartisan di Kongres.
Murkowski pula berkata, “tanggapan AS akan menggunakan sumber luas terhadap sekutu sendiri amat membimbangkan dan mesti ditolak sepenuhnya oleh Kongres melalui undang-undang”.
Ahad lalu, Trump dilaporkan berkata, AS mesti “memperoleh” Greenland bagi menghalang pulau itu diambil alih Rusia atau China. Beliau sebelum ini menyifatkan pemilikan Greenland sebagai “keperluan mutlak”untuk keselamatan ekonomi AS dan mengibaratkannya “perjanjian hartanah besar”.
Greenland, wilayah tadbir sendiri di bawah kerajaan Denmark, menarik minat AS susulan lokasi strategiknya dan sumber mineral luas.
Denmark dan Greenland menolak cadangan menjual wilayah itu, serta mengesahkan semula kedaulatan Denmark ke atas pulau berkenaan.