Perbaiki Grok atau hadapi penguatkuasaan akta khidmat digital, EU beri amaran

Perbaiki Grok atau hadapi penguatkuasaan akta khidmat digital, EU beri amaran

EU beri amaran kepada X untuk baiki Grok yang didakwa sering digunakan untuk jana imej tak senonoh.

grok
Suruhanjaya Eropah sudah buka siasatan dan minta dokumen dalaman daripada pemilik X, berhubung penggunaan tidak wajar AI Grok, kata Henna Virkkunen. (Gambar AFP)
MOSCOW:
Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah bagi Kedaulatan Teknologi, Keselamatan dan Demokrasi Henna Virkkunen memberi amaran bahawa platform media sosial X akan berdepan penguatkuasaan penuh Akta Perkhidmatan Digital (DSA), Kesatuan Eropah (EU) jika gagal menangani isu berkaitan kecerdasan buatan (AI) Grok miliknya dalam blok itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Isnin, pengawal selia media United Kingdom (UK) Ofcom mula menyiasat syarikat teknologi xAI milik Elon Musk dan Grok, yang didakwa digunakan untuk menjana imej pornografi.

Jika pelanggaran didapati berlaku, Ofcom boleh mengenakan denda sehingga 10% daripada hasil global syarikat itu.

“X kini perlu membaiki alatan AI mereka di EU dan mereka perlu melakukannya dengan segera,” kata Virkkunen di X.

“Jika tidak, kami tidak akan teragak-agak untuk menggunakan sepenuhnya DSA bagi melindungi warga EU.”

Suruhanjaya Eropah membuka satu siasatan dan meminta dokumen dalaman daripada syarikat yang memiliki X, kata Virkkunen pada Selasa.

Pada 3 Jan, Musk menyatakan di platform X bahawa ‘sesiapa yang menggunakan Grok untuk menghasilkan kandungan haram akan menerima akibat yang sama seperti jika mereka memuat naik kandungan haram’.

EU mula melaksanakan DSA, peraturan yang bertujuan mewujudkan ruang digital yang lebih selamat di seluruh blok itu, pada Mei 2023.

Peraturan itu mewajibkan platform dalam talian mempunyai sistem penyederhanaan kandungan yang berkesan dan telus, serta menghapuskan maklumat palsu, mengelirukan atau berbahaya.

Pada Februari 2024, EU mula menguatkuasakan DSA secara menyeluruh ke atas semua platform dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.