Perkhidmatan pos Denmark hantar surat terakhir, tamat tradisi 4 abad

Perkhidmatan pos Denmark hantar surat terakhir, tamat tradisi 4 abad

Selepas PostNord berundur, syarikat swasta Dao akan ambil alih sebahagian besar kegiatan penghantaran surat di negara itu.

PostNord selepas ini akan beri tumpuan eksklusif kepada perkhidmatan penghantaran bungkusan. (Gambar Anadolu Ajansi (AA))
BRUSSELS:
Pengendali perkhidmatan pos milik kerajaan Denmark pada Selasa menghantar surat terakhirnya, sekali gus menamatkan tradisi pengedaran surat awam selama 401 tahun di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik penyiar DR.

PostNord akan memberikan tumpuan eksklusif kepada perkhidmatan penghantaran bungkusan, susulan penurunan mendadak dalam jumlah surat akibat pendigitalan dan perubahan tabiat komunikasi.

“Hari ini menandakan satu titik perubahan bersejarah dalam sejarah PostNord,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kim Pedersen.

“Kami menamatkan pengedaran surat selepas berabad lamanya, namun membuka lembaran baharu dalam bidang yang paling diperlukan oleh rakyat Denmark hari ini, iaitu e-dagang apabila penghantaran bungkusan kini mengatasi jumlah surat.”

Langkah itu mencerminkan peralihan besar dalam masyarakat ke arah penyelesaian digital seperti pembayaran mudah alih, yang mengurangkan permintaan terhadap surat fizikal secara signifikan.

Selepas pengunduran PostNord, syarikat swasta Dao akan mengambil alih sebahagian besar penghantaran surat, dengan ketua pegawai eksekutifnya, Hans Peter Nissen mengunjurkan sekitar 80 juta surat dihantar pada 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.