ICC tolak rayuan Israel, sokong siasatan jenayah perang di Gaza

ICC tolak rayuan Israel, sokong siasatan jenayah perang di Gaza

Mahkamah Jenayah Antarabangsa putus tiada 'situasi baharu' diperlukan untuk memulakan semula proses atau keluar notis baharu kepada Israel.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa 10 Okt, keadaan di Gaza tidak berubah apabila Israel tetap meneruskan serangan dan mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan trak bantuan. (Gambar EPA Images)
LONDON:
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melalui kamar rayuannya menolak rayuan Israel terhadap kesahihan siasatan mahkamah itu berhubung jenayah perang yang dilakukan di Gaza selepas Okt 2023, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam penghakiman yang dikeluarkan pada Isnin, barisan hakim mengesahkan keputusan terdahulu kamar pra-perbicaraan, dengan memutuskan bahawa tiada ‘situasi baharu’ yang memerlukan pendakwa raya memulakan semula proses atau mengeluarkan notis baharu kepada Israel.

Kamar rayuan memutuskan yang siasatan sejak Okt 2023 melibatkan “jenis konflik bersenjata yang sama, wilayah yang sama serta pihak sama yang didakwa terlibat dalam konflik” seperti disiasat dalam kes Palestin yang berlarutan sekian lama.

Israel berhujah yang skala konflik selepas 7 Okt menandakan perubahan asas yang mencetuskan kewajipan undang-undang baharu di bawah Artikel 18 Statut Rom.

Hakim menolak dakwaan itu, dengan menyimpulkan bahawa “tiada perubahan besar terhadap parameter siasatan yang memerlukan notis baharu telah berlaku”.

Mahkamah menyatakan siasatan asal yang dibuka pada 2021 merangkumi jenayah perang yang dilakukan ‘sejak 13 Jun 2014, tanpa tarikh tamat’.

Keputusan itu mengukuhkan asas undang-undang bagi waran tangkap yang dikeluarkan pada Nov 2024 terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan Yoav Gallant, yang dituduh melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel menolak bidang kuasa ICC

Sekalipun hakim menyatakan yang keputusan itu “tidak menjejaskan, dalam apa jua cara, keupayaan negara-negara… untuk membangkitkan isu kes boleh diterima,” penghakiman itu menyingkirkan satu halangan prosedur utama terhadap kesinambungan siasatan berkaitan Gaza.

Hampir 70,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 171,100 yang lain cedera dalam serangan Israel di Gaza sejak Okt 2023, yang berterusan walaupun terdapat gencatan senjata.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, keadaan kehidupan di Gaza tidak bertambah baik, apabila Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan trak bantuan, sekali gus melanggar protokol kemanusiaan perjanjian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.