PM Australia bayang kawal selia lebih ketat senjata api

PM Australia bayang kawal selia lebih ketat senjata api

Sekurang-kurangnya 16 terbunuh termasuk 15 mangsa dan seorang penyerang manakala 42 lagi dirawat di hospital susulan kejadian tembakan di Bondi Beach.

Anthony Albanese
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, berkata lesen senjata api tidak sepatutnya bersifat kekal dan memerlukan semak dan imbang. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Berikutan insiden tembakan meragut banyak nyawa di Sydney, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata beliau akan membincangkan ‘undang-undang senjata api lebih ketat’ pada Mesyuarat Kabinet, lapor Anadolu Ajansi.

Sekurang-kurangnya 16 terbunuh, termasuk 15 mangsa dan seorang penyerang, manakala 42 lagi masih dirawat di hospital susulan kejadian tembakan di Bondi Beach, pada Ahad.

Terdahulu, polis Australia berkata dua suspek penembak dalam kejadian itu merupakan bapa dan anak lelaki, dan penyiasat tidak mencari sebarang suspek tambahan.

Bapa berkenaan maut di tempat kejadian, manakala anak lelakinya masih dalam keadaan kritikal, namun stabil di hospital.

Kerajaan Australia ‘bersedia mengambil sebarang tindakan yang perlu. Termasuk dalam hal itu adalah keperluan undang-undang senjata api lebih ketat’, kata Albanese pada sidang media.

Agenda mengenai undang-undang senjata api lebih ketat itu akan merangkumi had ke atas bilangan senjata api yang boleh digunakan atau dilesenkan oleh individu serta semakan lesen dalam tempoh tertentu, katanya.

“Lesen tidak sepatutnya bersifat kekal, dan semakan, sudah tentu, memastikan semak dan imbang berkenaan dilaksanakan,” katanya.

Premier New South Wales Chris Minns juga berkata, undang-undang senjata api perlu diubah bagi memastikan serangan tidak berulang.

“Ia memerlukan perundangan. Ia bermaksud memperkenalkan rang undang-undang ke Parlimen, menyukarkan untuk mendapatkan senjata mengerikan ini yang tiada kegunaan praktikal dalam komuniti kita,” katanya pada sidang media, menurut Perbadanan Penyiaran Australia.

Serangan itu dikecam dengan meluas oleh komuniti antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.