
Australia mewajibkan platform media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok menyingkir serta menyekat pengguna bawah 16 tahun sebelum 10 Dis ini, apabila undang-undang itu berkuat kuasa.
Jika gagal mengambil “langkah munasabah” untuk mematuhi peraturan itu, mereka boleh didenda AUD49.5 juta (USD32 juta).
“Kami sedang bekerja keras menyingkirkan semua pengguna yang kami difahamkan berumur bawah 16 tahun menjelang 10 Dis, pematuhan undang-undang adalah proses berterusan dan berperingkat,” kata jurucakap Meta.
Menurutnya, pengguna lebih muda masih boleh menyimpan dan memuat turun sejarah penggunaan mereka.
“Sebelum mencapai usia 16 tahun, kami akan memaklumkan anda akan dibenarkan mengakses platform ini dan kandungan anda akan dipulihkan seperti sedia kala.”
Meta berkata, ia komited mematuhi undang-undang Australia, tetapi menggesa app stores dipertanggungjawab untuk memeriksa umur pengguna yang memuat turun aplikasi.
“Kerajaan perlu mewajibkan app stores mengesahkan umur dan mendapatkan kebenaran ibu bapa bagi remaja bawah 16 tahun untuk memuat turun aplikasi, tanpa perlu mereka berulang kali mengesahkan umur sendiri dalam aplikasi berlainan.
“Platform media sosial boleh menggunakan maklumat pengesahan umur itu untuk memastikan pengalaman yang sesuai dengan umur mereka.”
YouTube mengkritik larangan itu dengan berkata, undang-undang baharu akan menjadikan remaja Australia “kurang selamat” kerana mereka masih boleh melayari laman web tanpa akaun, tetapi akan kehilangan ciri keselamatan seperti penapis kandungan.
Kerajaan Australia bagaimanapun menyifatkan hujah itu “pelik”.
Menteri Komunikasinya, Anika Wells dilaporkan berkata, jika YouTube sendiri mengingatkan laman mereka tidak selamat dan mengandungi kandungan tidak sesuai untuk pengguna bawah umur, maka itu masalah yang perlu diperbaiki YouTube.