12 maut runtuhan tebing sungai di Peru

12 maut runtuhan tebing sungai di Peru

Tiga kanak-kanak antara mangsa korban, manakala 30 lagi mangsa hilang selepas runtuhan tebing sungai menyebabkan dua bot penumpang terbalik di Sungai Ucayali.

Penumpang bergelut menyelamatkan diri selepas runtuhan tebing sungai menyebabkan dua bot penumpang terbalik di Sungai Ucayali, Peru. (Gambar AFP)
BOGOTA:
Sekurang-kurangnya 12 maut, manakala 30 lagi hilang selepas runtuhan tebing sungai menyebabkan dua bot penumpang terbalik di Sungai Ucayali, Peru, pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi memetik pihak berkuasa.

Kejadian berlaku pada awal pagi dekat pelabuhan Iparia, sebuah lokasi terpencil yang mengambil masa lebih sehari perjalanan menaiki bot dari Pucallpa, ibu negara wilayah Ucayali.

Menurut Pusat Operasi Kecemasan Pertahanan (Coen) Peru, hakisan tebing yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan tanah runtuh ke sungai, mencetuskan aliran air kuat yang mengganggu kestabilan bot.

Kedua-dua bot itu sedang berlabuh ketika runtuhan berlaku.

Coen memaklumkan sebuah bot tidak membawa penumpang, manakala sebuah lagi membawa kira-kira 50 orang.

Gambar di media sosial menunjukkan orang ramai berpaut pada cebisan kayu bagi mengelakkan diri daripada lemas.

Pasukan penyelamat mengesahkan tiga kanak-kanak antara mangsa korban.

Operasi mencari sedang dijalankan dengan bantuan Tentera Laut Peru bagi mengesan mangsa hilang.

Wilayah Ucayali merupakan kawasan hutan bersempadanan Loreto di utara dan Brazil di timur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.