174 maut banjir, tanah runtuh di Indonesia

174 maut banjir, tanah runtuh di Indonesia

Seramai 79 orang hilang dan 12 lagi cedera akibat banjir serta tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Meureudu, Pidie Jaya, Aceh. (Gambar EPA Images)
Sebuah jambatan rosak akibat banjir di sebuah kampung terjejas di Meureudu, Pidie Jaya, Aceh. (Gambar EPA Images)
JAKARTA:
Jumlah korban akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat di Indonesia meningkat kepada 174 orang, dengan 79 masih hilang dan 12 lagi cedera, menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) pada Jumaat, lapor Xinhua.

Ketua BNPB Suharyanto dalam sidang media berkata, Sumatera Utara mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 116 kematian dan 42 orang masih hilang. Beberapa kawasan terjejas masih tidak dapat diakses berikutan jalan rosak dan tanah runtuh berterusan, sekali gus melambatkan operasi menyelamat.

“Tidak mustahil lebih ramai mangsa berada di lokasi tanah runtuh yang belum dapat diakses,” katanya.

Di wilayah Aceh, 35 orang disahkan maut, 25 masih hilang dan lapan lagi cedera.

Sumatera Barat pula melaporkan 23 kematian, dengan 12 masih hilang dan empat lagi cedera. Banjir dan tanah runtuh merosakkan jalan serta jambatan di beberapa daerah, dengan sekitar 3,900 isi rumah dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

Bagi mengurangkan risiko lanjut, BNPB melaksanakan Operasi Modifikasi Cuaca serentak di tiga wilayah terjejas bagi mengalihkan awan hujan dari kawasan berisiko tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.