
Pihak berkuasa pada awal pagi Jumaat berkata, kebakaran berjaya dikawal kepada empat kompleks daripada hampir 2,000 unit rumah, lebih 24 jam selepas ia bermula di kompleks lapan bangunan itu.
Jurucakap kerajaan berkata, sekurang-kurangnya 76 orang cedera dalam kebakaran itu, termasuk 11 anggota bomba, manakala puluhan mangsa masih hilang, walaupun angka sebenar tidak dikemas kini sejak awal Khamis.
Wartawan AFP melaporkan api semakin reda di Wang Fuk Court, tetapi percikan api dan asap tebal masih muncul sekali-sekala.
Anggota bomba terus berusaha menyejukkan struktur bangunan itu dengan air dan mengelakkan bara menyala semula.
Pihak berkuasa mula menyiasat punca kebakaran – yang terburuk di pusat kewangan itu dalam hampir 80 tahun – termasuk meneliti penggunaan perancah buluh dan jaring plastik sebagai sebahagian kerja pengubahsuaian besar.
Badan antirasuah Hong Kong membuka siasatan ke atas kerja pengubahsuaian kompleks itu selepas polis menahan tiga lelaki didakwa cuai meninggalkan pembungkusan polimer buih di lokasi kebakaran.
Penduduk Wang Fuk Court di daerah Tai Po memberitahu AFP, mereka tidak mendengar penggera kebakaran dan terpaksa memberi amaran kepada jiran dari rumah ke rumah.
“Api merebak terlalu cepat. Saya nampak satu hos cuba selamatkan beberapa bangunan dan saya rasa ia terlalu perlahan.
“Kami bunyikan loceng, ketuk pintu, beri amaran kepada jiran untuk keluar,” kata seorang lelaki bernama Suen.
Seorang anggota bomba berusia 37 tahun dan dua pembantu rumah warga Indonesia antara 94 mangsa korban setakat 6 pagi waktu tempatan (22:00 GMT Khamis).
Ini kebakaran terburuk di Hong Kong sejak 1948 apabila satu letupan yang disusuli kebakaran meragut 135 nyawa.
Tetapi, angka korban mungkin meningkat dan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee pada awal pagi Khamis berkata, 279 orang masih hilang.
Sekurang-kurangnya 12 mangsa masih dalam keadaan kritikal dan pihak hospital menyifatkan 28 mangsa lain dalam keadaan “serius”.
Polis di sebuah pusat komuniti berhampiran berusaha mengenal pasti mangsa dengan menunjukkan gambar mayat kepada individu yang mencari ahli keluarga hilang.
“Jika wajah tidak dapat dikenali, barangan peribadi digunakan untuk pengecaman,” kata seorang wanita bernama Cheung yang sedang mencari ahli keluarganya.
Kerajaan Hong Kong menyediakan HKD300 juta (kira-kira USD38.5 juta) untuk membantu mangsa kebakaran.
Pihak berkuasa berkata, sembilan pusat perlindungan dibuka, manakala penginapan sementara dan dana kecemasan turut disediakan kepada mangsa kehilangan rumah.