
Al-Qahera News, yang mempunyai kaitan dengan perisikan Mesir, melaporkan mesyuarat itu turut disertai ketua perisikan Mesir dan Turki bersama perdana menteri Qatar.
Menurut laporan, para delegasi membincangkan kerjasama dengan AS “untuk memastikan fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas berjaya dilaksanakan”.
Mesir, Qatar, Turki dan AS bertindak sebagai pengantara serta penjamin bagi perjanjian Gaza, yang mula berkuat kuasa 10 Okt lalu selepas perang selama dua tahun.
Mesyuarat di Kaherah itu berlangsung dua hari selepas delegasi kanan Hamas menemui Ketua Perisikan Mesir, Hassan Rashad untuk membincangkan fasa kedua gencatan senjata.
Fasa itu merangkumi usaha melucutkan senjata Hamas, menubuhkan pihak berkuasa peralihan dan menempatkan pasukan penstabilan antarabangsa terdiri daripada tentera asing di Semenanjung Gaza.
Menurut Al-Qahera News, mesyuarat pada Selasa itu turut membincangkan “cara mengatasi halangan dan mengehadkan pelanggaran bagi memastikan gencatan senjata kekal”.
Israel dan Hamas berulang kali menuduh pihak lawan melanggar gencatan senjata.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 300 rakyat Palestin maut sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Pengantara pada Selasa turut “bersetuju terus memperkukuh kerjasama dengan Pusat Koordinasi Awam-Tentera” – pusat pemantauan gencatan senjata yang ditubuhkan AS dan sekutunya di selatan Israel.