14 maut dalam letupan gas di kilang kimia

14 maut dalam letupan gas di kilang kimia

Enam daripada mangsa ialah kanak-kanak berusia antara satu hingga 13 tahun.

Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam insiden letupan gas di sebuah kilang kimia di Pakistan. (Gambar AFP)
FAISALABAD:
Sekurang-kurangnya 14 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan pekerja kilang terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam insiden letupan gas di sebuah kilang kimia berhampiran Padang Kabaddi Shahab Town, Malikpur, pada pagi Jumaat.

Menurut Associated Press of Pakistan (APP), enam daripada mangsa ialah kanak-kanak berusia antara satu hingga 13 tahun.

Letupan di kilang pembuatan Samad Bond itu turut merosakkan sekurang-kurangnya sembilan rumah berdekatan.

Tiga mangsa yang terkorban merupakan pekerja kilang, manakala selebihnya penduduk setempat.

Seramai 21 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak berjaya dikeluarkan dari runtuhan.

Daripada jumlah itu, 10 disahkan maut di lokasi kejadian, manakala empat lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Pegawai Rescue-1122 berkata letupan itu begitu kuat sehingga menyebabkan beberapa rumah di kawasan berhampiran runtuh.

Pihak pentadbiran daerah bersama polis dan pasukan Rescue-1122 bertindak pantas dan melancarkan operasi menyelamat sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.

Pesuruhjaya Raja Jahangir Anwar dan Pegawai Daerah Kapten (Bersara) Nadeem Nasir mengesahkan bahawa letupan berpunca daripada kebocoran gas di kilang terbabit, dan memaklumkan bahawa mangsa yang cedera sedang menerima rawatan.

Pesuruhjaya itu turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa lima anggota bagi menyiasat punca insiden secara terperinci.

Ketua Menteri Punjab, Maryam Nawaz Sharif dimaklumkan mengenai kejadian dan meminta laporan lengkap daripada Pesuruhjaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.