Pejabat Kemanusiaan PBB beri amaran situasi di Gaza masih ‘sangat kritikal’

Pejabat Kemanusiaan PBB beri amaran situasi di Gaza masih ‘sangat kritikal’

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan mengulangi gesaan supaya membenarkan barangan yang kini dilarang memasuki Gaza, termasuk peralatan memulihkan infrastruktur kritikal.

Gaza
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan berkata, situasi kemanusiaan di Gaza kekal kritikal, walaupun terdapat usaha berterusan PBB dan rakan pelaksana menyampaikan bantuan kepada rakyat memerlukan. (Gambar EPA Images)
HAMILTON:
Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memberi amaran keadaan di Semenanjung Gaza kekal “sangat kritikal” meskipun usaha berterusan dilakukan PBB dan rakannya untuk membantu orang awam di wilayah itu, yang kini dalam tempoh gencatan senjata selepas konflik dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (Ocha) berkata, “situasi kemanusiaan di Gaza kekal kritikal, walaupun terdapat usaha berterusan oleh PBB dan rakan pelaksana menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan”.

Menurutnya, petugas kemanusiaan terus menjalankan penilaian dan menyalurkan bantuan kepada keluarga terjejas akibat hujan ribut minggu lalu, dengan lebih 18,600 keluarga dilaporkan terkesan.

Katanya ribuan keluarga “kehilangan tempat berteduh, mengalami kerosakan harta benda atau sekali lagi terpaksa berpindah”.

“Dengan musim sejuk semakin hampir, rakan pelaksana dalam sektor perlindungan memberi amaran jumlah barangan memasuki Gaza masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan mendesak penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Sejak September lalu, kurang 60,000 khemah, 346,000 terpal dan 309,000 barangan tempat tidur dibawa masuk ke Gaza, sedangkan ratusan ribu orang amat memerlukan sokongan tempat perlindungan.

Ocha turut mengulangi gesaannya supaya membenarkan barangan yang kini dihalang memasuki Gaza, termasuk peralatan untuk memulihkan infrastruktur kritikal.

Agensi itu juga menegaskan keperluan membenarkan NGO membawa bantuan ke Gaza serta pembukaan lebih banyak lintasan bagi memastikan penghantaran bantuan lebih pantas dan berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.