Pesawat ‘meragukan’ dari Israel ‘agenda hapuskan orang Palestin’, dakwa Afrika Selatan

Pesawat ‘meragukan’ dari Israel ‘agenda hapuskan orang Palestin’, dakwa Afrika Selatan

Pesawat carter membawa 153 Palestin mendarat di Johannesburg tanpa cap keluar mengejutkan pihak berkuasa.

Menteri Luar Ronald Lamola berkata Afrika Selatan membantah penerbangan lanjut kerana menganggapnya usaha mengusir orang Palestin dari Gaza dan Tebing Barat. (Gambar EPA Images)
JOHANNESBURG:
Afrika Selatan berkata, ketibaan mengejut 153 orang Palestin menaiki pesawat minggu lalu menunjukkan “agenda jelas untuk mengusir orang Palestin” dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Kumpulan itu mendarat di Johannesburg menaiki pesawat carter pada Khamis tanpa cap keluar dari Israel dalam pasport mereka.

Menurut laporan, organisasi samar dikenali sebagai Al-Majd terlibat membawa mereka dari Gaza.

“Kami sangsi sebagai kerajaan Afrika Selatan, mengenai keadaan melibatkan ketibaan pesawat itu,” kata Menteri Luar Ronald Lamola kepada pemberita.

Polis sempadan Afrika Selatan menahan kumpulan itu di dalam pesawat berkenaan selama 12 jam sebelum Presiden Cyril Ramaphosa membenarkan mereka masuk menggunakan pengecualian visa standard selama 90 hari.

Maklumat kemudian tersebar bahawa pesawat pertama membawa 176 orang Palestin tiba di negara itu pada 28 Okt, menurut badan kebajikan tempatan, Gift of the Givers yang membantu kumpulan berkenaan.

“Kami tidak mahu pesawat lain seumpamanya datang ke sini kerana ini agenda jelas untuk mengusir orang Palestin dari Gaza dan Tebing Barat serta kawasan berkaitan, yang bertentangan dengan pendirian Afrika Selatan,” kata Lamola.

“Ia nampak seperti sebahagian daripada agenda lebih luas untuk mengusir orang Palestin ke kawasan lain di dunia dan jelas operasi terancang,” katanya.

Afrika Selatan, yang bakal menjadi tuan rumah persidangan G20 pada hujung minggu ini, adalah antara penyokong terkuat perjuangan Palestin.

Pretoria memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2023, menuduh Israel terlibat genosid di Gaza.

Menurut Gift of Givers, orang Palestin yang dibantu berkata mereka membayar sekitar USD2,000 seorang kepada Al-Majd untuk penerbangan itu tanpa mengetahui akan dibawa ke Afrika Selatan.

“Kami dimaklumkan, mereka dijanjikan perjalanan keluar dari Gaza dengan selamat ke negara yang akan menerima mereka,” kata wakil organisasi itu Sarah Oosthuizen kepada AFP.

Segelintir penumpang dipercayai diperdaya mengenai destinasi mereka, dengan ada yang menyangka akan dibawa ke Indonesia, Malaysia atau India.

Penginapan yang dijanjikan untuk mereka rupanya hanya ditempah untuk seminggu. Ejen Al-Majd yang menjadi orang perantara mereka turut tidak dapat dihubungi sebaik mereka tiba di situ.

Sementara itu, kedutaan Palestin di Afrika Selatan berkata, perjalanan kedua-dua kumpulan berkenaan dilaksanakan organisasi tidak berdaftar yang mengutip wang daripada mangsa sebelum menguruskan perjalanan mereka secara tidak bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.