
“Parti Republikan tidak akan membayar lebih USD1 trilion kepada pendatang tanpa izin yang datang ke negara kita atas pelbagai sebab, dari penjara, pusat tahanan, dari Venezuela dan banyak negara lain. Kami tidak akan lakukannya,” katanya pada Jumaat menurut laporan Fox News.
Trump menyalahkan Demokrat atas penutupan kerajaan berterusan itu.
“Penutupan ini berterusan. Ia penutupan Demokrat. Ia penutupan Schumer (Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer) kerana kerjayanya telah gagal dan berakhir,” katanya menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
Menurut laporan media Rumah Putih, Trump tiba di kediamannya di Mar-a-Lago, Florida pada petang Jumaat selepas menemui Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky di Rumah Putih.
Trump dijadualkan berucap pada majlis makan malam di Mar-a-Lago bagi mengumpul dana untuk jawatankuasa tindakan politik MAGA Inc.
Tahun fiskal baharu AS bermula 1 Okt lalu, namun Kongres gagal meluluskan belanjawan menyebabkan kerajaan tidak dapat berfungsi.
Penutupan kerajaan di AS bermakna operasi beberapa agensi kerajaan yang dibiayai secara langsung oleh Kongres dihentikan kerana tiada peruntukan bagi tahun fiskal berikutnya.
Trump sebelum ini berkata, beliau mungkin menggunakan penutupan kerajaan untuk melaksanakan pengurangan terhadap kakitangan dan gaji.