
Pejabat itu menyiarkan nama 1,718 tahanan Palestin termasuk 250 individu yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, yang akan dibebaskan sebagai pertukaran tawanan Israel.
Menurut Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), proses pembebasan tahanan Israel bermula pada hari ini.
Pergerakan Hamas mengesahkan pembebasan tahanan Israel di bawah fasa pertama pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menamatkan perang di Semenanjung Gaza.
Hamas turut menegaskan komitmen melaksanakan tanggungjawab di bawah perjanjian itu, sambil menekankan kepentingan peranan pihak perantara dalam memastikan Israel mematuhi perjanjian berkenaan.
Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam, menyifatkan perjanjian gencatan senjata itu sebagai hasil ketabahan rakyat Palestin dan perjuangan gerakan itu, sambil mengulangi komitmen terhadap jadual pelaksanaan perjanjian.
Pada Rabu, Trump mengumumkan Israel dan Hamas bersetuju fasa pertama pelan 20 perkara bertujuan melaksanakan gencatan senjata di Gaza. Pelan itu merangkumi pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza.
Fasa pertama perjanjian itu berkuat kuasa pada Jumaat lalu.
Fasa kedua pelan berkenaan pula merangkumi penubuhan badan pentadbir baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, penempatan pasukan pelbagai negara, dan pelucutan senjata Hamas.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel meragut nyawa lebih 67,800 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan wilayah itu hampir tidak lagi sesuai untuk didiami.