
“Saya sangat berbangga untuk mengumumkan bahawa Israel dan Hamas kedua-duanya telah menandatangani fasa pertama pelan damai kami.
“Ini bermakna semua tebusan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel mengundurkan tenteranya ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kukuh dan berkekalan,” kata Trump di platform Truth Social.
Semua pihak akan ‘dilayan dengan adil’, tambah beliau.
Presiden itu menggambarkan detik tersebut sebagai ‘hari yang hebat’ untuk dunia Arab dan Islam, Israel, negara-negara jiran serta AS.
Trump turut mengucapkan terima kasih kepada semua perunding, termasuk Turki, “yang bekerjasama dengan kami untuk menjayakan peristiwa bersejarah dan tidak pernah berlaku ini”.
Rundingan secara tidak langsung antara Israel dan Hamas berlangsung di Mesir sejak Isnin untuk membincangkan pelan Trump bagi menamatkan konflik tersebut.
Menurut saluran berita milik kerajaan Al-Qahera News, selain Utusan Khas AS Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner, senarai perunding termasuk Ketua Perisikan Turki Ibrahim Kalin, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, Ketua Perisikan Mesir Hassan Rashad, dan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel Ron Dermer.
Pelan 20 perkara yang diumumkan pada 29 Sept itu merangkumi pembebasan tawanan Israel di Gaza, gencatan senjata, dan pelucutan senjata Hamas. Kumpulan Palestin itu bersetuju dengan pelan tersebut secara prinsip.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel mengorbankan hampir 67,200 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan menjadikan wilayah itu tidak lagi sesuai untuk didiami.