
“Saya katakan ia bergantung pada siapa yang kita maksudkan. Saya boleh katakan kepada anda, Demokrat meletakkan ramai orang dalam risiko besar, tetapi ia benar-benar bergantung kepada siapa yang dimaksudkan,” kata Trump di Pejabat Oval Rumah Putih.
“Tetapi secara keseluruhan, kami akan menjaga rakyat kami. Ada sesetengah orang yang memang tidak layak dijaga dan kami akan uruskan mereka dengan cara berbeza,” katanya.
Presiden AS itu tidak memberikan butiran lanjut tentang pekerja persekutuan yang mungkin tidak menerima bayaran tertunggak.
Terdahulu, Axios melaporkan pekerja persekutuan yang direhatkan sementara tidak dijamin menerima pampasan bagi tempoh mereka dipaksa bercuti semasa penutupan kerajaan, memetik draf memo Rumah Putih.
Sementara Trump terus menyalahkan Demokrat atas kebuntuan penutupan itu, pemimpin Demokrat pula menyalahkan Republikan.
“Republikan yang menutup kerajaan dan bukannya memperbaiki sistem kesihatan untuk rakyat Amerika di seluruh negara ini,” kata Pemimpin Minoriti Senat Chuck Schumer di platform X.
Selepas penutupan kerajaan sebelum ini yang berlangsung 35 hari dan berakhir pada Januari 2019, Trump menandatangani undang-undang yang menjamin bayaran gaji tertunggak untuk pekerja persekutuan terjejas dalam mana-mana penutupan kerajaan akan datang.
Sebelum undang-undang itu diluluskan, Kongres AS lazimnya meluluskan bayaran gaji tertunggak untuk pekerja persekutuan selepas rang undang-undang pembiayaan diluluskan bagi membuka semula kerajaan.
Menurut analisis Pejabat Belanjawan Kongres minggu lalu, kira-kira 750,000 pekerja persekutuan dijangka direhatkan sementara sepanjang penutupan kali ini.
Pekerja persekutuan yang dianggap penting seperti pengawal trafik udara dan pegawai penguat kuasa undang-undang akan terus bekerja tanpa gaji sehingga kerajaan dibuka semula.
Setiausaha Pengangkutan AS Sean Duffy, berkata penutupan kerajaan menambah tekanan kepada pengawal trafik udara yang sudah terlalu dibebani kerja.