
Thunberg antara 171 aktivis diusir Israel selepas ditahan menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Kumpulan itu kemudiannya berlepas ke Greece dan Slovakia selepas dibebaskan.
Ketibaan Thunberg bersama aktivis lain di Greece disambut sorakan penyokong selepas melalui pengalaman pahit dalam tahanan.
Berucap di Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos di Athens, Thunberg menegaskan pengalamannya bukan perkara utama dibicarakan.
“Saya boleh bercerita panjang lebar tentang layanan buruk dan penyeksaan yang kami alami ketika dalam tahanan, percayalah. Tetapi itu bukan kisah sebenar.
“Saya ingin jelaskan satu perkara: pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di depan mata kita – genosid yang disiarkan secara langsung.
“Tiada siapa berhak kata mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku. Tiada sesiapa di masa depan yang boleh kata kita tidak tahu.”
Beliau menuduh Israel terus memperhebat “genosid dan kemusnahan besar-besaran dengan niat menghapuskan seluruh populasi dan sebuah bangsa di depan mata dunia”.
“Kita tidak boleh mengalihkan pandangan daripada Gaza dan tempat lain di dunia yang sedang menderita akibat sistem penindasan berterusan seperti di Congo, Sudan, Afghanistan dan banyak lagi.
“Apa yang kita lakukan kini hanyalah usaha minimum.
“Saya tak faham bagaimana manusia boleh menjadi sejahat itu. Sanggup membiarkan jutaan manusia kebuluran bawah sekatan haram, sebagai kesinambungan penindasan dan dasar aparteid puluhan tahun.”
Dalam video dimuat naik ke akaun Instagramnya, Thunberg berkata, GSF ialah manifestasi “solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin”.
Tegasnya, Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Negara di dunia mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menamatkan keterlibatan mereka dalam genosid – sesuatu yang turut disahkan pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya sambil menegaskan Israel tidak boleh dikecualikan daripada dipertanggungjawabkan atas jenayah itu.
GSF yang berlayar untuk memecahkan sekatan haram Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza menghampiri perairan wilayah itu 1 Okt lalu sebelum diserang tentera Israel.
Rejim Zionis merampas puluhan kapal dan menahan ratusan penumpang dalam operasi disifatkannya pencerobohan tidak sah.
Flotila itu misi terbesar pernah dilancarkan secara kolektif bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.