Ahli Parlimen Belgium sertai flotila Gaza

Ahli Parlimen Belgium sertai flotila Gaza

Benedicte Linard sedar risiko dihadapi susulan tindakan Israel ke atas GSF.

Ahli Parlimen Belgium Benedicte Linard berkata penyertaannya dalam flotila itu kerana kecewa kegagalan institusi politik untuk bertindak. (Gambar Facebook)
ISTANBUL:
Ahli Parlimen Belgium Benedicte Linard menyertai misi flotila bantuan ke Gaza sambil menyeru masyarakat antarabangsa agar segera bertindak menghentikan apa yang disifatkannya sebagai genosid di wilayah Palestin yang dikepung itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap dari atas kapal ‘Gaza Sunbird’, satu daripada kapal dalam flotila berkenaan, Linard berkata beliau memutuskan untuk menyertai misi itu selepas kecewa dengan apa yang disifatkannya sebagai kegagalan institusi politik untuk bertindak.

“Saya mahu mengambil tindakan untuk cuba menghentikan genosid di Gaza,” katanya kepada Anadolu. “Di Parlimen dan dalam kerajaan, tindakan yang diambil tidak mencukupi. Jadi, sekarang saya berada di sini bersama rakyat daripada pelbagai warganegara dalam flotila ini.”

Beliau berkata objektif konvoi itu bukan sahaja untuk menghantar bantuan kemanusiaan, malah untuk membuka koridor laut yang kekal untuk Gaza.

“Penting bagi saya bukan sahaja untuk berada di atas kapal ini, tetapi untuk cuba menghentikan apa yang sedang berlaku di Gaza – apa yang dilakukan Israel terhadap semua rakyat, terhadap semua kanak-kanak,” katanya.

Linard mengakui risiko pelayaran itu, sambil menyatakan bahawa sebuah lagi kapal, ‘Sumud’ telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa.

Pada Khamis, pasukan tentera laut Israel menyerang dan merampas kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) serta menahan lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara. Flotila itu dilaporkan sedang berusaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencabar sekatan Israel terhadap wilayah berkenaan.

“Kami menjangkakan perkara itu juga boleh berlaku kepada kami, tetapi kami mahu berusaha menamatkan misi ini,” katanya sambil menambah bahawa kru kapalnya berada dalam keadaan agak baik dan tidak begitu jauh dari Gaza.

Menyampaikan mesej kepada pemimpin global, Linard merayu agar tindakan tegas diambil terhadap Israel.

“Tolong hentikan Israel dan sekatan haram ke atas Gaza. Orang ramai sedang mati. Anda perlu bertindak. Anda perlu mengenakan sekatan terhadap Israel. Masanya sudah tiba — malah sudah terlambat,” katanya.

Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza, yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk, sejak hampir 18 tahun lalu.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel membunuh lebih 67,000 rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta menjadikannya tidak boleh didiami, dengan sekatan itu turut menyebabkan Gaza terjerumus dalam kebuluran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.