
Pengarah belanjawan White House Russell Vought, berkata kira-kira USD8 bilion dalam apa yang digelarnya ‘pembiayaan Green New Scam untuk agenda iklim sayap kiri’ telah dipotong, melibatkan 16 negeri, kebanyakannya di bawah pimpinan Demokrat.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan AS (USDOT) menghentikan USD18 bilion bagi projek infrastruktur di New York, tempat pemimpin Senat Demokrat Chuck Schumer dan Ketua Minoriti Dewan Perwakilan Hakeem Jeffries sering menjadi sasaran kritikan Trump, menurut laporan The New York Times.
Dalam kenyataannya, USDOT meletakkan kesalahan kepada Schumer dan Jeffries, dengan mendakwa penutupan kerajaan akibat tindakan mereka telah menyebabkan semakan jabatan itu terhadap amalan di New York mengambil masa lebih lama.
“Tanpa bajet, jabatan terpaksa menggantung kakitangan hak sivil yang bertanggungjawab menjalankan semakan ini,” menurut USDOT.
Schumer pula berkata, pentadbiran Trump menggunakan penutupan kerajaan sebagai ‘ugut-mengugut’ terhadap negeri pimpinan Demokrat. “Beliau mempergunakan rakyat Amerika sebagai alat tekanan, mengugut negara dengan memperalat penderitaan rakyat,” katanya.
Pada Rabu, Senat AS gagal meluluskan rang undang-undang perbelanjaan sementara, menyebabkan kerajaan persekutuan memasuki penutupan pertama dalam hampir tujuh tahun.
“Banyak perkara baik boleh muncul daripada penutupan,” kata Trump pada Selasa. “Kita boleh menyingkirkan banyak perkara yang kita tidak mahu.”
Pada Khamis, Reuters melaporkan kira-kira 750,000 pekerja persekutuan diarahkan tidak bekerja, manakala selebihnya mula bekerja tanpa gaji.