Aktivis di Eropah protes Israel pintas konvoi GSF

Aktivis di Eropah protes Israel pintas konvoi GSF

Kesatuan sekerja Itali, Unione Sindacale di Base dan Confederazione Generale Italiana del Lavoro menggesa mogok umum di seluruh negara pada 3 Okt.

Penunjuk perasaan mengadakan protes di Genoa, Itali pada Rabu bagi menyokong rakyat Palestin serta konvoi kemanusiaan GSF yang dipintas rejim Zionis. (Gambar EPA Images)
BRUSSELS:
Aktivis pro-Palestin mengadakan protes di seluruh Eropah pada Rabu selepas tentera Israel memintas konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), menurut Anadolu Ajansi.

Di Rom, ratusan penunjuk perasaan, termasuk pelajar dan ahli kesatuan sekerja peringkat akar umbi berhimpun di Piazza dei Cinquecento di depan Stesen Termini.

Peserta menyekat lalu lintas di dataran itu dan jalan sekitarnya sambil melaungkan slogan “Let’s block everything for the Flotilla and for Palestine”.

Polis menutup beberapa stesen metro dan mengehadkan akses penumpang ke Stesen Termini. Penunjuk perasaan merancang berarak ke Piazza Barberini dengan penyertaan kira-kira seribu orang.

Kesatuan sekerja Itali, Unione Sindacale di Base (USB) dan Confederazione Generale Italiana del Lavoro (CGIL) menggesa mogok umum di seluruh negara pada 3 Okt.

Di Barcelona, ratusan orang berkumpul di luar Konsulat Israel untuk mengecam pemintasan itu dan bersolidariti bersama Gaza.

Tunjuk perasaan sama turut dilaporkan di Berlin dengan puluhan orang berhimpun di Central Station bagi membantah serangan Israel, manakala di Brussels, penunjuk perasaan berarak dari Place de la Bourse menuju Kementerian Luar Belgium.

Ratusan orang juga dijangka menyertai protes di London pada Khamis.

Penganjur GSF berkata, pemintasan itu berlaku ketika kapal perang Israel menyekat komunikasi dan menghentikan konvoi berkenaan.

Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza (ICBSG) mengesahkan tentera Israel menyerbu kapal Alma dan Sirius.

Beberapa aktivis memuat naik rakaman video di media sosial mengesahkan bot tentera laut Israel menghampiri konvoi itu dan mengarahkan mereka menukar haluan.

Flotila itu yang sebahagian besarnya membawa bantuan kemanusiaan serta bekalan perubatan memulakan pelayaran akhir Ogos lalu dan dijangka tiba di pantai Gaza pagi Khamis sekiranya tiada halangan.

Ini julung kali dalam beberapa tahun, kira-kira 50 kapal membawa 532 penyokong awam dari lebih 45 negara belayar bersama ke Gaza, yang didiami 2.4 juta rakyat Palestin dan di bawah sekatan Israel selama 18 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.