Sekolah pondok di Indonesia runtuh, 38 pelajar dikhuatiri terperangkap

Sekolah pondok di Indonesia runtuh, 38 pelajar dikhuatiri terperangkap

Runtuhan berlaku ketika pekerja sedang menuang bancuhan konkrit di tingkat paling atas.

Pondok Pesantren Al Khoziny di Kabupaten Sidoarjo runtuh ketika solat Asar pada petang Isnin. (Gambar EPA Images)
JAKARTA:
Pasukan penyelamat Indonesia berusaha mengesan puluhan pelajar yang dikhuatiri terperangkap selepas sebuah sekolah pondok empat tingkat runtuh di Jawa Timur, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan lebih 70 lagi cedera.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari dalam kenyataan berkata, 38 orang masih hilang selepas Pondok Pesantren Al Khoziny di Kabupaten Sidoarjo – terkenal sebagai pusat melahirkan ulama sejak 1927 – runtuh ketika solat Asar pada petang Isnin.

Sehingga pagi tadi, 102 orang dipindahkan, selepas 91 mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala 11 lagi diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat. Seorang mangsa disahkan maut.

Sekurang-kurangnya 77 mangsa cedera dibawa ke hospital, dengan 34 dirawat di Hospital Sidoarjo, 38 di Hospital Siti Hajar dan empat di Hospital Delta Surya.

Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), unit bencana daerah, polis, tentera dan sukarelawan dikerah ke lokasi menggunakan jentera berat bagi membersihkan runtuhan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika pekerja sedang menuang bancuhan konkrit di tingkat paling atas.

“Ketika solat Asar sekitar 3 petang waktu tempatan, tiang asas dipercayai tidak mampu menampung beban, lalu menyebabkan keseluruhan struktur runtuh hingga ke tingkat bawah.”

Ketua sekolah pondok KH Abdus Salam Mujib, berkata bangunan yang runtuh itu baru dibina kira-kira sembilan bulan lalu secara berperingkat dan belum siap sepenuhnya, dengan tingkat tiga baharu siap dibina untuk dijadikan dewan aktiviti pelajar.

Awal bulan ini, sebuah bangunan dua tingkat Madrasah Assoibiyah di Bogor, Jawa Barat yang masih dalam pembinaan runtuh mengorbankan empat orang dan mencederakan 84 yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.