10 maut letupan di Pakistan

10 maut letupan di Pakistan

Ketua Menteri Balochistan Mir Sarfraz Bugti sifatkan kejadian sebagai 'serangan pengganas'.

pakistan bomb
Sekurang-kurangnya 10 nyawa melayang dalam letupan menggegarkan Quetta, ibu negeri wilayah Balochistan. (Gambar EPA Images)
ISLAMABAD:
Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas satu letupan menggoncang Quetta, ibu negeri wilayah Balochistan di barat daya Pakistan, menurut polis.

Menurut Anadolu Ajansi, letupan itu berlaku di kawasan sibuk Pishin Stop berhampiran ibu pejabat Frontier Constabulary, pasukan separa tentera negara itu.

“Setakat ini, 10 mayat dan 19 mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital,” kata Pengarah Urusan Pusat Trauma di Hospital Awam, Arbab Kamran kepada pemberita.

Seorang pegawai polis turut mengesahkan angka korban itu kepada Anadolu melalui telefon, tetapi tidak mendedahkan punca letupan.

Berikutan serangan itu, pasukan keselamatan mengepung kawasan berkenaan dan melancarkan operasi mengesan pihak bertanggungjawab.

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab. Ketua Menteri Balochistan Mir Sarfraz Bugti mengecam insiden itu dengan menyifatkannya sebagai ‘serangan pengganas’.

Wilayah yang kaya dengan mineral itu telah lama menjadi sarang keganasan, dengan pasukan keselamatan berdepan pemberontakan bersenjata berintensiti rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.