
Jambatan Huajiang Grand Canyon yang merentasi Sungai Beipan dibina setinggi 625m di kawasan pergunungan Guizhou, hampir sembilan kali lebih tinggi daripada Jambatan Golden Gate di San Francisco.
Struktur sepanjang 2,890m merentasi Huajiang Grand Canyon – digelar ‘retakan Bumi’ – merupakan tambahan terbaru kepada rangkaian infrastruktur China yang berkembang pesat.
Jambatan tertinggi dunia sebelum ini juga dibina merentasi Sungai Beipan, kira-kira 100km dari Jambatan Huajiang Grand Canyon.
Rekod terdahulu yang dibuka pada 2016 itu mempunyai ketinggian menegak 565.4m dari dek jambatan ke permukaan sungai.
“Jambatan baharu ini, yang akan meningkatkan keterhubungan serantau secara signifikan, adalah projek mercu tanda yang menonjolkan inovasi China,” kata Ketua Jabatan Pengangkutan Wilayah Zhang Yin.
Sejak pembinaan bermula, pasukan jurutera berjaya mengatasi pelbagai cabaran besar.
Dengan memanfaatkan teknologi baharu seperti navigasi satelit, dron, sistem pemantauan pintar dan bahan berkuatan ultra-tinggi, mereka mencapai ketepatan pada paras milimeter dalam pembinaan altitud tinggi, sekali gus menukar halangan yang dahulunya sukar ditembusi menjadi koridor pengangkutan moden.
Selama ini, Guizhou – antara wilayah paling kurang membangun di China – telah membina lebih 30,000 jambatan di kawasan pergunungan, termasuk tiga jambatan tertinggi dunia.
Wilayah itu kini menempatkan hampir separuh daripada 100 jambatan tertinggi di dunia.