Ford buang 1,000 pekerja lagi di Jerman

Ford buang 1,000 pekerja lagi di Jerman

Ini pemberhentian pertama membabitkan pengeluaran kenderaan sejak kilang Ford di Cologne diubah menjadi pusat pengeluaran EV pertamanya di Eropah.

Ford memberhentikan 1,000 lagi pekerja di kilangnya di Cologne berikutan permintaan kenderaan elektrik di Eropah terus merosot. (Gambar EPA Images)
BERLIN:
Pengeluar kereta Amerika Syarikat (AS), Ford pada Selasa mengumumkan akan memberhentikan 1,000 lagi pekerja di kilangnya di Cologne, Jerman berikutan permintaan kenderaan elektrik (EV) di Eropah terus merosot, lapor Xinhua.

Bermula Januari depan, operasi kilang itu akan dikurangkan daripada dua syif kepada satu syif, sekali gus menjejaskan jumlah pekerja.

Ini pemberhentian pertama membabitkan pengeluaran kenderaan sejak kilang itu diubah menjadi pusat pengeluaran EV pertama Ford di Eropah, selepas pelaburan bernilai USD2 bilion dua tahun lalu.

Pengumuman itu menyusul keputusan Ford sebelum ini merancang mengurangkan 4,000 pekerja di Eropah menjelang 2027, termasuk kira-kira 2,900 di Jerman, kebanyakannya dalam bahagian pentadbiran dan pembangunan.

Rancangan itu mencetuskan mogok pertama Mei lalu, sebelum pihak pengurusan dan majlis kerja mencapai persetujuan Julai lalu yang menawarkan pakej pampasan.

Jurucakap majlis kerja kilang, David Luedtke menyifatkan langkah terbaharu ini “satu lagi tamparan hebat buat kilang Cologne”.

Beliau turut memberi amaran ia menambah kebimbangan pekerja mengenai masa depan jangka panjang kilang itu.

Sekiranya kedua-dua pusingan pemberhentian itu dilaksanakan, tenaga kerja Ford di Cologne – yang juga berfungsi sebagai ibu pejabat Eropahnya – dijangka berkurangan kepada sekitar 7,600 orang berbanding 12,000 orang tahun lalu dan 20,000 pekerja lima tahun lalu.

Penganalisis industri berpendapat kesukaran Ford mencerminkan cabaran lebih besar yang sedang dihadapi sektor automotif Jerman dalam peralihan kepada EV.

Menurut firma perunding EY, pengeluar kereta dan pembekal di negara itu mengurangkan lebih 51,000 pekerja sepanjang tahun lalu akibat permintaan lemah, tarif AS serta kos tinggi peralihan kepada EV.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.