
Bintang siri “Hacks”, Hannah Einbinder memenangi Anugerah Emmy pertamanya bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam siri komedi dan menutup ucapan penerimaannya dengan berkata: “Go Birds, F— ICE dan Bebaskan Palestin.”
Ketika namanya diukir pada trofi di belakang pentas, beliau berkata: “Menjadi kewajipan saya sebagai seorang Yahudi untuk membezakan Yahudi dengan Israel.”
Pelakon Javier Bardem yang memakai keffiyeh dan menyuarakan sokongan kepada Pekerja Filem untuk Palestin, turut berkata di atas karpet merah: “Hari ini saya hadir untuk mengecam genosid di Gaza…Bebaskan Palestin!”
Beberapa minggu menjelang Anugerah Emmy, seramai 3,900 nama dalam industri perfileman menandatangani ikrar terbuka bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan institusi atau syarikat filem Israel “terlibat dalam genosid dan aparteid terhadap rakyat Palestin”.
Ikrar yang diterbitkan pada Isnin oleh organisasi Pekerja Filem untuk Palestin itu memberikan contoh “mencuci imej atau menghalalkan genosid dan aparteid, dan/atau bekerjasama dengan kerajaan yang melaksanakannya”.
“Apa yang kita saksikan itu adalah genosid. Dan seperti yang saya katakan dalam wawancara anda, ia berlaku dalam 4K setiap hari, ini mesti dihentikan,” kata Bardem dalam satu temu bual.
Tegasnya, beliau tidak akan dan tidak boleh bekerja dengan pihak yang “menghalalkan atau menyokong genosid”.
“Saya tidak boleh. Ia semudah itu. Dan kita tidak sepatutnya melakukannya dalam industri ini atau industri lain. Hari ini di Madrid, Sepanyol, acara jelajah berbasikal dihentikan ribuan orang yang berarak di jalanan dengan menyatakan kita tidak boleh membenarkan pasukan Israel menyertai perlumbaan itu.”
Megan Stalter daripada siri “Hacks” turut bergambar di karpet merah sambil memegang beg tangan berwarna putih tertera “Gencatan senjata!”.